Sunday, March 22, 2020

RAKYAT KELANTAN PATUT SABAR:SEMPADAN LAUT BUKAN HALANGAN BESAR

Kenyataan media ini merupakan siri ketiga yang dikeluarkan sebagai maklumbalas terhadap Ucapan YB Menteri Hal Ehwal Ekonomi sewaktu menggulung Perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2020 di Dewan Rakyat pada 30 Oktober 2019.

Sejarah Kelantan 

Kedaulatan Kelantan boleh dibuktikan melalui sejarah panjang penubuhannya yang lebih awal dari pembentukan Malaysia.

Secara ringkasnya Kelantan adalah sebuah entiti atau negara berdaulat yang mempunyai kerajaan tersendiri dengan sistem pemerintahan beraja bersama sempadan pemerintahan dan hukum kanun sendiri.

Pada 1499 Kelantan telah menjadi negeri di bawah naungan Kesultanan Melayu Melaka. Kemudian di bawah naungan Kerajaan Pattani Raya (1603) dan pada 1812 Kelantan menjadi negeri "Ufti Siam".

Sempadan Kelantan berubah apabila British dan Siam menandatangani Perjanjian Bangkok pada 1909. Siam menyerahkan Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis kepada Britain dan Kelantan menjadi salah satu daripada Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu di bawah kekuasaan Residen British.

Kelantan menjadi sebahagian Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948 dan mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Pada 16 September 1963, Kelantan menjadi salah satu daripada negeri-negeri yang membentuk Persekutuan Malaysia.

Ini menunjukkan  Kelantan adalah sebuah negara yang berdaulat dengan sempadan darat dan laut sendiri sebelum menyertai Malaysia.

Sempadan Kelantan

Garis sempadan Kelantan dengan Thailand dan Vietnam adalah berpandukan garis sempadan Malaysia dengan negara-negara berkenaan. Garis sempadan Malaysia dengan dua negara berkenaan tidak dapat tidak mesti berasaskan garis sempadan Kelantan sebelum Kelantan menyertai Persekutuan Tanah Melayu pada 1948. Garis ini, kali terakhir berubah ialah apabila Thailand memasuki perjanjian dengan British (Perjanjian Bangkok 1909). Perjanjian ini menggariskan garis sempadan Kelantan dengan Siam baik di darat mahupun lautan.

Kawasan pertindihan Malaysia - Thailand diselesaikan melalui perjanjian persefahaman (MOU) pada 21 Februari 1979 dan perjanjian
Malaysia Thailand Join Development Area (MTJDA) pada 30 Mac 1990.

https://images.app.goo.gl/GngafAmpThDkpvTH9

Sempadan Kelantan - Vietnam juga merupakan sempadan Malaysia- Vietnam. Pertikaian tuntutan bertindih di kawasan sempadan iaitu blok PM 3 antara kedua-dua negara telah diselesaikan melalui  Commercial Area Agreement (CAA) pada 5 Jun 1992.

Sempadan Kelantan Terengganu

Kerajaan Kelantan dan Kerajaan Terengganu baharu sahaja memeterai perjanjian sempadan darat antara kedua-dua negeri pada 20 Jun 2019 yang melibatkan pengukuran jajaran sepanjang 198.7km.

Semasa majlis menandatangani perjanjian berkenaan, Dr Xavier Jayakumar, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli telah mengeluarkan kenyataan "dengan termeterainya perjanjian sempadan darat, Kelantan dan Terengganu boleh memulakan rundingan penentuan sempadan maritim antara negeri hingga ke Laut Wilayah dengan tumpukan kepada garis sempadan maritim".

Sempadan laut Kelantan dan Terengganu

Proses penentuan sempadan laut Kelantan Terengganu sebenarnya telah diusahakan melalui beberapa Mesyuarat Sempadan Laut Negeri Kelantan-Terengganu antaranya pada 6 Julai 1981 dan 6 Jun 1987. Peta cadangan sempadan laut kedua-dua negeri telahpun disiapkan.

Peta Sempadan 6 Jun 1987

Cadangan peta tersebut telahpun diserahkan secara rasminya kepada  Ketua Setiausaha Negara (KSN) bertarikh 20 Jun 1987.

Perlu diingatkan bahawa oleh kerana sebelum daripada ini masih belum wujud apa-apa perjanjian, triti atau dokumen, maka  proses pembentukan peta sempadan laut tersebut telah mengambil kira kesemua faktor yang diperlukan antaranya:

a) Perkara 2 Bahagian 1 Perlembagaan Malaysia
b) Article 15 - UN Convention on Law Of The Sea (UNCLOS)
c) Article 6(2) - Convention On Continental Shelf, Geneva 1958
d) Keputusan International Court of Justice.

Pengesyoran peta tersebut adalah selaras dengan prinsip yang digunapakai di negara ini dalam isu seumpamanya semenjak 1974 iaitu "equitable solution based upon proportionality".

Sepatutnya pihak Kerajaan Persekutuan melalui KSN, Peguam Negara, Unit Perancang Ekonomi serta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) mengambil tindakan sewajarnya untuk menyelesaikan isu sempadan dan mengazetkannya agar semua perkara berbangkit berhubung dengannya dapat diselesaikan secara harmoni tanpa menunggu masa lebih 32 tahun (tetapi masih tidak diselesaikan).

Sedikit fakta yang penting berdasarkan keputusan bersama Kelantan-Terengganu tersebut adalah menunjukkan bahawa keluasan pelantar benua Kelantan 23, 407.5km persegi dan Terengganu pula berkeluasan 93,630km persegi.

Malangnya sempadan laut antara negeri-negeri di Malaysia sehingga kini masih tidak lagi digazet secara rasmi yang berpunca dari kelemahan pentadbiran Kerajaan Persekutuan lalu. Namun begitu ketiadaan gazet bukan bermakna hilangnya hak sesuatu negeri termasuk Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak. Agak "pelik bin ajaib" kenapa hanya Kelantan yang tidak dibayar Royalti atas faktor sempadan laut yang belum dimuktamadkan?

Sepatutnya pihak Petronas dan Kerajaan Persekutuan mengeluarkan kenyataan mengaku bahawa mereka telahpun  menggunakan peta sempadan tersebut (Peta Sempadan Kelantan - Terengganu 6 Jun 1987) bersama Peta Baharu Malaysia 1979 dan Peta Zon Maritim Malaysia.
Maka masalah pengiraan jumlah Royalti sepatutnya tidak timbul untuk kedua-dua negeri pengeluar minyak tersebut.

Malahan agensi-agensi Kerajaan Persekutuan yang lain seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Laut Malaysia, Jambatan Perikanan Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan syarikat-syarikat petroleum turut menggunakan peta-peta tersebut dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing bagi  kepentingan negara dan negeri-negeri.

Sempadan Laut Zon Maritim

Zon Maritim Malaysia bererti perairan laut dalam, laut wilayah, pentas benua, Zon Ekonomi Eksklusif dan perairan perikanan Malaysia serta termasuk ruang udara atas Zon.

https://images.app.goo.gl/e44MpAtAcT59w1oYA

Perairan milik Kelantan ditandakan sebagai DM10 di dalam Zon Maritim Malaysia. Ianya
adalah sama dengan peta cadangan sempadan Laut Kelantan - Terengganu Peta 6 Jun 1987.

Betulkah Sempadan Perairan Negeri Hanya 3 Batu Nautika?

Kelantan telah menolak Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750) melalui persidangan Dewan Undangan Negeri pada 5 November 2019.

Ini menjadikan Kelantan bersama Sabah yang tidak terikat dengan had sempadan negeri hanya kepada tiga Batu Nautika (5.556km). Sempadan Laut Kelantan tidak terjejas iaitu sehingga ke sempadan antarabangsa.

Antara asas kukuh Kerajaan Negeri Kelantan dan Sabah menolak Akta Laut Wilayah tersebut adalah ianya jelas berniat untuk merampas hak milikan negeri ke atas kawasan perairan yang amat kaya dengan sumber alam terutamanya petroleum.

Segala hasil mahsul dari bumi (tanah) dan bawah tanah termasuk minyak serta gas adalah milik mutlak Kelantan sebagaimana yang didefinisikan oleh Kanun Tanah Negara.

Petikan dari jurnal akademik tulisan Zailanni Amit, Universiti Putra Malaysia Vol. 12, No. 2 (2017) 339 - 354, ISSN: 1823-884x "Tindakan kerajaan pusat (Akta 750) juga mempunyai implikasi ke atas sempadan negeri. Ianya jelas tidak sah mengikut Perkara 2 Perlembagaan Persekutuan kerana mengubah sempadan perairan negeri yang hanya boleh dilakukan dengan persetujuan Majlis Raja-Raja".

Zon Ekonomi Ekslusif

Pada 25 April 1980, Malaysia telah mengisytiharkan kawasan Zon Ekonomi Ekslusif-nya dengan kelebaran 200 Batu Nautika dari garis-garis pangkal melalui pengistiharan P.U (A) 115.

Dari segi sejarah, pembayaran royalti minyak kepada kerajaan Terengganu telah dibuat walaupun pelantar cari gali minyaknya berada di luar dari tiga batu nautika. Pelantar minyak negeri Terengganu terletak 220 kilometer di perairan Laut China Selatan sedangkan pelantar minyak di Kelantan terletak
170 kilometer di Zon Ekonomi Eksklusif di Laut China Selatan.

Professor Madia Dato' Dr Mohammad Agus Yusoff, UKM (2009) dalam analisisnya menyatakan Kelantan mempunyai hak ke atas hasil petroleum yang dijumpai di wilayah perairannya kerana perjanjian UNCLOS 3 (United Nations Convention on the Law of the Sea) 1982 yang ditandatangani oleh Malaysia menetapkan negeri mempunyai hak ke atas Zon Ekonomi Eksklusif yang
menjangkau jarak sehingga 200 batu nautika. Peruntukan UNCLOS ini secara langsung
menolak hujah kerajaan pusat yang menyatakan kawasan tiga batu nautika sahaja dari kawasan pantai. Jika kerajaan pusat menggunakan Ordinan Kuasa Darurat 1969 yang menyatakan
kawasan perairan negeri adalah sejauh tiga batu nautika sahaja dari perairan pantai, hujah ini adalah mengelirukan kerana Ordinan Kuasa Darurat yang digubal pada tahun 1969 itu adalah khusus (isu keselamatan) kerana ketika itu Akta Kemajuan Petroleum 1974 masih tidak wujud.

Akta tersebut yang berkuatkuasa pada 1 Oktober 1974 telah membawa kepada tertubuhnya Petronas dan diserah hak petroleum yang didapati dan diperolehi di daratan atau luar pantai Malaysia kepada Petronas. Tidak dinyatakan sama sekali sama ada di dalam Akta Kemajuan Petroleum 1974 tentang sekatan hak setiap negeri untuk menerima bayaran tunai bagi pengeluaran petroleum di luar pantainya berdasarkan kepada jarak dari pantai.

Semasa analisa tersebut dibuat, Ordinan Kuasa Darurat masih lagi berkuatkuasa, namun Ordinan tersebut telahpun dimansuhkan pada 2011.

Pemansuhan ini menyebabkan alasan pihak Kerajaan Persekutuan sebelum ini telah tertolak secara automatik dan menjadikan sempadan laut Kelantan serta negeri-negeri adalah sehingga ke sempadan antarabangsa.

Peta Malaysia 1979

Malaysia telah meratifikasikan Konvensyen Undang-Undang Laut 1982 pada 14 Oktober 1996 bagi mengemukakan garis-garis pangkal dan batas luar maritim sebagaimana Peta Baharu Malaysia 1979 kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Peta tersebut, menunjukkan bahawa sempadan perairan Kelantan bersama Thailand dan Vietnam adalah sempadan yang sama di antara Malaysia bersama Thailand dan Vietnam.

Sebagaimana sempadan perairan Sarawak bersama Indonesia dan Brunei. Begitu juga sempadan Sabah bersama Indonesia, Brunei dan Filipina. Sempadan perairan Sabah dan Sarawak merupakan sempadan perairan Malaysia bersama negara-negara jiran berkenaan.

Sebagaimana Sabah dan Sarawak layak menerima  royalti hasil daripada telaga-telaga minyak yang di dapati di dalam perairan negeri masing-masing, maka Kelantan juga sepatutnya dibayar Royalti yang sama.

Pihak kerajaan pusat (Kerajaan sebelum ini) menyatakan hak Sabah dan Sarawak
ke atas tuntutan royalti adalah tidak sama dengan hak Kelantan mempunyai implikasi yang besar dari perlembagaan iaitu dari segi kedudukan negeri-negeri dalam Persekutuan Malaysia. Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan Malaysia menyatakan Persekutuan Malaysia adalah terdiri daripada tiga belas buah negeri. Setiap negeri mempunyai hak yang sama dan telah dijamin oleh perlembagaan.  Dalam hal ini, perjanjian yang sama dan Akta Kemajuan Petroleum 1974 yang sama telah digunakan di seluruh negara. Sekiranya prinsip federalisme yang baik benar-benar dihayati, maka tidak wujud unsur diskriminasi kerajaan pusat terhadap kerajaan negeri disebabkan berbezanya fahaman politik.

Pengukuran Hidrografi

YB Menteri Hal Ehwal Ekonomi dalam ucapan penggulungan bajet 2020 turut menggesa agar isu sempadan laut Kelantan - Terengganu diselesaikan terlebih dahulu sebelum memutuskan pembayaran Royalti bagi sepuluh lagi telaga minyak yang terdapat di sempadan kedua-dua Negeri.

Pada pandangan kami Peta Cadangan Sempadan Laut Kelantan - Terengganu (6 Jun 1987) yang telah lengkap tersebut seharusnya digunakan. Tinggal lagi sedikit usaha untuk mengazetkannya sahaja. Proses ini sepatutnya tidak mengambil masa lama. Isu ini harus diselesaikan dalam tempoh tidak sampai setahun (2020).

Sekiranya pihak Kerajaan Persekutuan memerlukan proses pengukuran Hidrografi bagi mengenalpasti pelbagai perkara yang berkaitan (sempadan, kedudukan pelantar minyak, bilangan telaga dan lain-lain), maka proses tersebut juga boleh dilaksanakan segera dalam tempoh masa yang agak singkat.

Kini, Malaysia telahpun mempunyai kepakaran untuk melaksanakan kerja-kerja ukur di lautan. Sekarang terdapat seramai 17 orang Jurukur Tanah Berlesen (Professional) yang mempunyai pengiktirafan Internatioanal Hydrography Organisation-Sijil Hidrografi Kategori A (yang berpengkalan di Monaco). Ahli professional ini berkeupayaan melaksanakan tugasan tersebut dan boleh menandatangani peta sempadan laut di Malaysia kerana mereka layak membuat kerja kerja pemetaan sempadan laut negara.

Nah, apa lagi, rakyat di negeri-negeri pengeluar minyak dan seluruh Malaysia amat kesal dengan kelemahan pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang lalu kerana gagal menyelesaikan isu sepenting ini. Kepimpinan baharu seharusnya menyelesaikannya segera bagi merungkai segala pertikaian yang tidak berkesudahan walaupun kita telah merdeka lebih 62 tahun.

Komitmen Malaysia Baharu

Kini tanggungjawab menyelesaikan isu sempadan ini perlu diselesaikan oleh Kerajaan Persekutuan. Berdasarkan beberapa tindakan yang diambil, rakyat Kelantan yakin dengan komitmen yang ditunjukkan oleh pihak Kerajaan Persekutuan bahawa isu sempadan laut ini akan dapat diselesaikan dalam tempoh yang singkat.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, YB Dr A Xavier Jayakumar berkata "Kerajaan negeri di Semenanjung diminta mempercepatkan dan memuktamadkan proses penadaan dan pengukuran sempadan negeri masing-masing. Ini adalah bagi memastikan segala tuntutan terhadap pertindihan kawasan dapat dielakkan pada masa akan datang, terutamanya di kawasan sempadan maritim, di mana terdapat kemungkinan sumber minyak dan gas baharu. Sampai sekarang tak ada penyelesaian sempadan maritim. Jadi kita minta negeri untuk mempercepatkan persetujuan, selepas JUPEM buat ukuran di kawasan maritim ini untuk diadakan ketentuan, kawasan ini masuk ke dalam negeri mana. Sebagai contoh, Kelantan dan Terengganu yang mana kita tahu kepentingan mereka adalah minyak dan gas. Sebab itu sempadan maritim ini perlu dipercepatkan proses dan ditentukan dua negeri ini dengan MOU, kalaulah ada kawasan baru kita dapati ada gas dan minyak, maka mereka boleh tentukan ia milik siapa,” Beliau mengeluarkan kenyataan tersebut semasa mengadakan sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Ke-74 Majlis Tanah Negara yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 3 Disember 2018.

Pihak kami berpendapat isu sempadan laut Kelantan - Terengganu paling penting tetapi paling mudah dan cepat untuk diselesaikan berikutan soal sempadan laut ini telahpun diselesaikan di peringkat kedua-dua Negeri. Pihak  JUPEM hanya perlu membuat semakan dan pengesahan sebelum MOU ditandatangan. Proses ini tidak sukar dan tidak perlu mengambil masa yang lama. Ianya sepatutnya boleh diselesaikan dalam tempoh suku pertama tahun 2020 (selewat-lewatnya Mac)

Sehubungan dengan itu, rakyat Kelantan patut bersabar kerana isu yang tinggal hanyalah soal sempadan perairan Kelantan-Terngganu. Berdasarkan hujah, fakta perundangan, sejarah dan pendangan akademik, pihak Pertubuhan R Kelantan (NGO Royalti) amat yakin isu ini amat mudah dan dapat diselesaikan segera. Seterusnya rakyat Kelantan akan menikmati  hasil perjuangan menuntut royalti petroleum dari perut bumi Kelantan yang amat kaya ini, insyaAllah Biiznillah.

Kini menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri dan Persekutuan mengadakan rundingan lanjut bagi merealisasikan  perjuangan suci ini.

Sekian, terima kasih.

*"Tuntut Royalti Sampai Dapat"*


Hj Nazri Deraman
Presiden R (NGO Royalti)
21 November 2019

Anak Legeh Di Perantauan Sudah Kembali | Template by - Abdul Munir - 2008