Monday, January 19, 2009

Selamat Berjuang Pro Mahasiswa Universiti Malaya

Pada kesempatan ini,saya sebagai graduan dan bekas pimpinan mahasiswa Universiti Malaya era akhir 90 an ,mengucapkan tahniah kepada mahasiswa, pro Mahasiswa Universiti Malaya kerana telah memenangi pilihanraya kampus pada kali ini. Tidak kisah sekalipun menang dengan majoriti tipis. Pasti adik-adik telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mengembalikan maruah mahasiswa setelah sekian lama digagalkan untuk berbuat demikian. Syabas saya ucapkan.

Mengembalikan hak Mahasiswa
Kemenangan ini adalah kemenangan Mahasiswa setelah sekian lama dirampaskan hak melalui pemilihan yang penuh meragukan. Kemenangan ini juga bukan bererti segalanya telah pulih. Masih banyak kepincangan yang perlu dipulihkan terutama dalam menyusun dan memperkemaskan organisasi. Suara majoriti tipis ini pastinya memerlukan banyak pengorbanan dan kepintaran dalam mengurus organisasi yang sudah sekian lama dikuasai oleh mereka yang tidak sefikrah.

Ketelusan dalam pentadbiran dengan memberi penekanan dalam pembinaan sahsiah mahasiswa dan agenda kebajikan mestilah menjadi perkara pokok dalam penguasaan adik-adik terhadap PMUM.Ruh Islam dan penekanan kepada pembinaan kerohanian mesti direalisasikan dalam memimpin mahasiswa. Pastinya kita berbeza dari mereka apalagi kepimpinan pro mahasiswa kebanyakkannya datang dari fakulti Akademi Pengajian Islam. Apa lagi Akademi Pengajian Islam kerap kali memberi kemenangan percuma kepada Pro Mahasiswa. Pemimpin yang tsiqah dan berwibawa yang kita harapkan bagi mengisi kemenangan ini.

Kesinambungan NADI

Saya beranggapan pro mahasiswa adalah kesinambungan NADI pada zaman kami dan sebelumnya. Kepimpinan NADI telah membuktikan kewibawaan dalam memimpin dan menjadi penggerakkan kepada gerakan Rakyat setelah mereka tamat pengajian. Tidak dinafikan juga, ada juga yang menjadi pembelot dan larut diasak zaman serta hanyut dilambung ombak keduniaan. Itulah hakikat yang perlu ditelan. Namun harapan kami kepada adik-adik dengan susah payah dan kejayaan kalian dalam mengembalikan kepimpinan mahasiswa ke tangan mereka yang beriktimad dan berteraskan Islam, semestinya adik-adik akan lebih tabah, lebih istiqamah dan melebihi apa yang berlaku pada zaman kami.

Majoriti tipis


Kemenangan tipis tidak seharusnya dijadikan halangan untuk melakukan perubahan dalam PMUM atau MPPUM pada kali ini. Dengan kepimpinan yang berwibawa dan sokongan akar umbi yang kuat, saya cukup yakin adik-adik akan dapat lakukan yang terbaik. Tegas, berani,pintar, nekad dan iman antara resipi yang perlu digaul dan disebatikan dalam kepimpinan kalian. Tengoklah kepimpinan Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz, yang mampu memerintah Kelantan hanya dengan satu kerusi dan 2 undi sahaja. Tuan Guru dapat melakukan reformasi pentadbiran dengan baik sekali. Hasilnya, rakyat membalasnya dengan memberi kemenangan yang besar kepada Tuan Guru pada pilihanraya MAC 2008.

Kepala Babi di Surau Akademi Pengajian Islam

Isu ini diharapkan dapat dimanipulasi dan ditangani dengan bijak dan bersungguh-sungguh. Kita tidak mahu perkara ini terus berulang dan menimbulkan permusuhan di kalangan mahasiswa seterusnya merebak ke luar. Isu ini sensitif dan mencabar ketuanan Islam. Mereka yang terlibat mesti dicari dan hukuman yang sewajar mesti dikenakan oleh pihak pentadbir universiti. Isu ini tidak boleh dijadikan isu perkauman kerana Islam adalah milik semua.Mungkin perkara ini dilakukan atas dasar khianat dan sabotaj. Peliknya, kenapa dari Melaka hingga ke Universiti Malaya. Sebelum isu babi di Selangor dan Kedah, perkara ini tidak berbangkit dan tidak popular. Hinggakan zaman kes merebaknya penyakit JE di Bukit Pelanduk dan perpindahan babi dari Melaka pun, perkara ini tidak berlaku. Timbul persoalan kenapa mereka memilih surau Akedemi Pengajian Islam, tidak surau lain?.

Harapan kepada adik-adik,
Selamat memikul amanah yang dibebankan semoga amanah ini dapat mematangkan adik-adik dan sebagai medan latihan untuk menjadi pemimpin yang berwibawa pada masa akan datang. Jadikan medan universiti tertua dan paling banyak berjasa ini untuk mengasah kemampuan kalian dan menabur bakti untuk agama,bangsa dan negara. Tugas ini bukan hanya terpikul dibahu kepimpinan tetapi kepada semua mahasiswa terutama pengundi yang mengundi calon Pro Mahasiswa. Berdosa kita sekiranya membiarkan pimpinan terkapai-kapai meneruskan tugas kepimpinan dan akedemik, sedangkan kita tekun dengan memutalaah dan rutin harian kita. Kepimpinan mesti disokong dan didokong. Apa lagi keputusan akademik pimpinan juga mesti dijaga supaya tidak menimbulkan fitnah kepada pimpinan kita. Peranan Qiadi dan Jundi mestilah beriringan supaya kehendak jemaah dan organisasi dapat direalisasikan secara berkesan.

Selamat Berjuang adik-adikku,

Mohd Zaidi Mustafa
Naib Presiden
Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaya sesi 97/98

Anak Legeh Di Perantauan Sudah Kembali | Template by - Abdul Munir - 2008