Friday, June 4, 2010

Demostrasi Anti Isreail


Pemuda UMNO dan Pemuda Barisan Nasional mengadakan bantahan secara aman terhadap kekejaman Israel menyerbu kapal menghantar bantuan kemanusiaan di Gaza selepas solat Jumaat di Masjid Negara, Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA


KUALA LUMPUR 4 Jun - Ribuan umat Islam di negara ini bangkit menyatakan bantahan keras mereka terhadap kekejaman komando Israel kepada aktivis yang menaiki kapal misi kemanusiaan ke Gaza, Isnin lalu.


Selain majlis solat hajat selepas solat Jumaat, kecaman terhadap Israel turut berkumandang dengan lantang dari mimbar-mimbar masjid di seluruh negara.


Di Masjid Sultan Ahmad Shah 1, Kuantan, lebih 2,000 jemaah menyertai solat hajat mendoakan kesejahteraan dan keselamatan umat Islam di Palestin yang kini berdepan dengan kekejaman tentera Israel.


Solat hajat itu turut diadakan bagi memohon kesejahteraan umat Islam di seluruh dunia termasuk sukarelawan yang menyertai misi bantuan kemanusiaan.


Sebelum itu, Khatib, Mohd. Fadzli Ishak dalam khutbahnya turut mengutuk kekejaman Israel menyerang konvoi kapal bantuan kemanusiaan ke Gaza.


Sejurus selepas solat Jumaat pula, lebih 100 jemaah berhimpun bagi mengadakan bantahan mengecam kekejaman yang dilakukan oleh Israel itu.


Sementara itu di Johor Bahru, hujan lebat tidak menghalang lebih 100 jemaah berhimpun di Masjid Sultan Abu Bakar untuk meneruskan bantahan.


Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat bukan sahaja membawa sepanduk dan kain rentang mengecam Israel malah membakar bendera rejim zionis berkenaan.


Penasihat Yayasan Amal Malaysia Cawangan Johor yang juga AJK PAS Pusat, Mazlan Aliman meminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memainkan peranannya dengan mengambil tindakan tegas ke atas Israel.

Di Pulau Pinang, kira-kira 300 wakil daripada 40 NGO Islam berhimpun bagi menyuarakan bantahan yang sama.


Mereka yang menggelarkan diri sebagai Gabungan Bebaskan Gaza berhimpun secara aman hampir setengah jam di depan Masjid Kapitan Keling selepas solat Jumaat.


Sambil membawa sepanduk-sepanduk yang mengutuk serangan tersebut, mereka turut membakar bendera Amerika Syarikat (AS) dan Israel.


Sementara itu, rakyat Sabah turut menzahirkan kebencian terhadap rejim zionis itu dengan mengadakan demonstrasi aman selepas solat Jumaat di Masjid Bandaran, Kota Kinabalu.


Lebih 100 jemaah yang menunaikan solat Jumaat berkumpul di pintu pagar masjid dan melaungkan slogan anti-Israel sambil memegang kain rentang bertulis 'Zionis Yahudi Pengganas' dan 'Hancur Zionis'.


Demonstrasi yang berlangsung kira-kira 30 minit itu turut menyaksikan orang ramai membakar dan memijak bendera Israel.


Menurut ketua penganjur demonstrasi itu, Lahirul Latigu yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS, Sabah, demonstrasi bantahan seumpamanya turut diadakan di Tawau hari ini.

Anak Legeh Di Perantauan Sudah Kembali | Template by - Abdul Munir - 2008