Thursday, February 26, 2009

Sedutan Khutbah Jumaat 27 FEB 2009

Hari ini aku berkhutbah di masjid Al-Ghafar dengan menerima tetamu istimewa negara. Kehadirannya seperti singgah untuk solat jumaat. Beliau ialah Timbalan Perdana Menteri Malaysia(bakal …kalau menang dalam pemilihan agung UMNO MAC nanti). Semasa limpas mahu berkhutbah terperasan di depan aku itu Datuk Seri Ali Rustam yang agak mengantuk. Mungkin keletihan mencari undi untuk Mac ini.

Khutabah hari ini adalah usaha untuk membetulkan fakta sejarah yang telah diseleweng kerana kepentingan pihak munafik dan kuffar. Tindakan mereka ini bertujuan menghina dan menjatuhkan kemuliaan dan ketinggian Islam.

Dr. Muhammad Qutub menyatakan bahawa kita umat Islam wajib menulis semula sejarah Islam, Ini berikutan, hampir semua penulisan sejarah yang kita ada, kebanyakannya hanya propaganda dari barat saja. Padahal barat memang punya niat jahat kepada umat Islam.

Kalau anda baca buku sejarah tentang shahabat, mulai sejak zaman Utsman bin Affan, lalu ke masa Ali bin Abi Thalib, terus ke zaman Hasan dan Husain, Mu''awiyah, Yazid dan seterusnya. Semua cerita pasti tentang peperangan, pertumpahan darah, balas dendam, dan konspirasi.

Cerita sahabat nabi yang mulia itu tiba-tiba jadi kisah para pendekar silat yang berbalasan dendam dan kekuasaan di tangan sejarawan barat. Kita pun terbawa-bawa dengan kisah itu sambil ikut mencaci maki generasi terbaik dari umat ini. Jelas semua ini adalah perang syaraf yang dilancarkan musuh-musuh Islam. Tapi sedikit sekali kita yang sedar, sebab kisah-kisah bohong itu sudah terbenam dalam buku sejarah dan kurikulum pendidikan kita puluhan tahun yang lalu.

Tiga tokoh yang dihina dalam penulisan sejarah Islam yang ditenagkan dalam khutbah tadi:

a. Muawiyah bin Abi Sufian

Khalifah Muawiyah yang digambarkan sebagai seorang penguasa yang tamak,sombong bahkan dituduh membunuh cucu Rasulullah SAW sedangkan Muawiyah adalah penulis wahyu Rasulullah dan antara pemuda yang terawal memeluk Islam serta berjuang bersama Rasulullah. Beliau termasuk di kalangan sahabat yang mendapatkan keridhaan dari Allah SWT dalam Al-Quran

Tariq bin Ziad

Seorang panglima Islam berbangsa barbar yang telah berjaya menbuka wilayah Cardova. Tuduhan paling mashur ialah tidakan beliau membakar kapal-kapal yang membawa pejuang Islam dari Mesir setelah tiba di bumi Cardova. Tindakan membakar kapal ini bertentangan dengan sifat Islam yang mengharamkan pembaziran dan konsep jihad itu sendiri. Mana mungkin tentera Islam yang ditanam dengan semangat jihad dan keinginan untuk mati syahid terpaksa dibakar kapal mereka kerana takut mereka melarikan diri. Seolah-olah mematikan pilihan tentera Islam agar berjuang bersungguh-sungguh. Tidak layak bagi pejuang Islam yang bertekad dari Mesir lagi untuk berjihad sanggup meninggalkan perjuangan itu begitu sahaja.

Selain itu, sifat pembaziran yang dilemparkan kepada Tariq bin Ziad adalah tidak layak bagi pemimpin agung seperti Tariq Bin Ziad yang kuat berpegang kepada Islam.

Tsalabah Ra

Kisah sahabat Tsalabah ra ini sangat mashyur dan berada di dalam banyak kitab khasnya kitab tafsir ketika menafsirkan ayat

Kisah ini yang terdapat dalam banyak kitab Tafsir erti Ibn jarir At-tabari dan Ibn Abi hatim diambil dari riwayat Ma’an Ibn Rifa’ah daripada Ali ibn Yazid dari Qasim ibn Abd Rahman dari Abi Umamah ra bahawa : Sesungguhnya Tsalabah ibn Hatib Al-Ansori berkata kepada rasulullah : “Doakanlah aku supaya diberi harta oleh Allah” dan juga berkata “Demi yang membangkitkan engkau dengan kebenaran sekiranya engkau mendoakan supaya Allah memberikan harta kepada aku nescayalah aku akan memenuhi hak-haknya”


Kemudian Rasulullah pun mendoakannya dan dikisahkan beliau kemudian membela kambing biri-biri dan membiak ternakannya sehingga menjadi kaya kemudian kerana kesibukkan menguruskan harta sehingga meninggalkan solat jemaah bersama baginda di masjid lalu apabila datang perintah wahyu supaya mengambil zakat maka diperintahlah dua orang lelaki untuk mengambil hak zakat dari Tsalabah lalu ditolak oleh Tsalabah kemudian apabila utusan ini memberitahu baginda turunlah ayat ini iaitu ayat 75-76 Surah At-Taubah dan sampailah berita kepada Tsalabah akan hal ini lalu dia menyesal dan menemui baginda rasul untuk menyerahkan hak zakatnya tetapi diberitahu kepadanya bahawa Allah melarang rasulullah mengambil zakat darinya dan wafatlah rasulullah dalam keadaan tidak menerima zakat Tsalabah dan kemudian berlalu zaman Abu Bakar dan Umar serta Utsman dengan tidak seorang pun dari khalifah rasulullah ini menerima zakat Tsalabah dan meninggal dunialah Tsalabah di zaman Utsman ra dengan zakatnya tidak tertunai.

Kisah ini palsu serta bathil dan sanad kisah ini pula dhaif (lemah) bersangatan serta ditolak oleh ramai ulama hadith dan fuqaha Islam dahulu dan kini antaranya ialah Imam Ibn Hazm, Imam Baihaqi, Imam Qurthubi, Imam Az-Zahabi, Imam hafidz Al-Iraqi, Hafidz Al-Haisami, Al-Hafidz Ibn Hajar, Imam Al-Manawi dan lain-lain dikalangan ulama Islam yang alim.

Ibn Hisyam dalam Sirah An-Nabawiyah menyebutkan Tsalabah sebagai ahli badar, juga Imam Saad dalam Tabaqah Al-Kubra memasukkan Tsalabah sebagai salah seorang ahli badar, juga Imam Al-Baghawi, Ibn Hibban,Ibn Hazm, Tibrani, Ibn Abd Bar, Ibn Asir, Al-Qurtubi, Adz-Zahabi dan Ibn Katsir serta Al-Haisami, Ibn Hajar dan lain-lain yang menulis sekitar sahabat radiallahuanhum memasukkan Tsalabah Ibn hatib sebagai salah seorang sahabat yang mulia yang mengikuti perang badar sekaligus telah menjelaskan serta membela beliau dari fitnah dan riwayat palsu kepadanya.

Tsalabah ibn Hatib ialah seorang sahabat Ansar yang terlibat menyertai perang Badar iaitu peperangan suci yang tidak ikut serta di dalamnya kecuali hanya mereka-mereka yang beriman dan tidaklah seorang pun munafiq, atau fasiq yang menyertainya melainkan mereka yang beriman dan diberi kemuliaan.

Di dalam hadith perihal Hatib Ibn Abi Bal’ta’ah ra rasulullah bersabda : “Bukankah dia ini dari Ahli Badar ? Semoga Allah seolah telah mengatakan kepada ahli badar lakukanlah apa yang kamu suka sesungguhnya telah diwajibkan kepada kamu syurga “atau riwayat lain” diampunkan dosa kamu” (hadith sahih riwayat Bukhari lihat Fathul Bari no. 3983).

Adapun dalam riwayat Ahmad dan Abu Daud dan Ibn Abi Syaibah dari Abi Hurairah disebut hadith ini dengan bentuk jazam dan pasti bahawa memang telah diampunkan dosa ahli badar. Juga dalam hadith Ahmad riwayat dari Jabir ra dengan marfu menyebutkan "tidak akan masuk neraka seorang pun yang menyaksikan perang Badar” (lihat Musnad Ahmad dengan syarah hadith).

Anak Legeh Di Perantauan Sudah Kembali | Template by - Abdul Munir - 2008