Selatan Thai khususnya wilayah Pattani merupakan kawasan majoriti umat Islam Melayu dan pernah membina tamadun umat Melayu suatu ketika dulu. Namun demikian, kini bumi Pattani menjadi medan sembelihan. Penghapusan etnik secara ketara berlaku bermula daripada peristiwa Takbai merebak luas keseluruhan selatan Thai.
Kejadian terbaru berlaku pada 9 Jun lalu bila 11 jemaah ditembak ketika solat isyak di Masjid Al-Furqan di Kampung Air Tempayan, Sungai Golok kira-kira pukul 8.50 malam (waktu Malaysia).
Setelah melepaskan tembakan dari dua pintu masuk masjid, enam penyerang itu dikatakan masih tidak berpuas hati dan masuk ke dalam masjid sebelum melepaskan beberapa das lagi tembakan bagi memastikan jemaah terbabit benar-benar mati.
Tragedi terbaru yang menjadikan masjid sebagai sasaran, berlaku pada hari yang sama Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva melawat Malaysia dan memperbaharui komitmen untuk mengakhiri konflik yang berlarutan sejak 2004 di wilayah bergolak itu.
Kejadian itu menambahkan jumlah korban yang kini mencecah lebih 3,700 orang dan masyarakat Islam di wilayah Pattani bimbang kejadian lebih buruk akan menyusul semula dan ramai yang percaya kejadian terbaru didalangi pihak berkuasa.
Ketika peristiwa ini berlaku, penulis berada di kampong. Kampung penulis berdekatan dengan Thailand dan hamper separuh penduduk adalah imigran dan penoreh-penoreh getah yang berasal dari wilayah bergolak itu. Penulis juga mempunyai 2 orang bapa saudara yang berada di wilayah berdarah ini. Keselamatan mereka turut menjadi kebimbangan kami ahli keluarga.
Menurut sumber dari penduduk kampong sekitar, sebelum, ini telah berlaku terhadap 2 orang guru (kru) Budha yang dilakukan oleh lelaki yang memakai seluar celoreng seolah-olah tentera. Peliknya, mereka menyuruh semua yang menaiki hilux tersebut bersyahadah. Kru (guru) itu tidak bersyahadah, maka dibunuh.
Anehnya, kru atau guru samaada guru-guru agama atau pondok, malah guru-guru Budha selalu menjadi sasaran bunuh. Apa kelebihan atau apa salah guru-guru ini sehingga mereka menjadi target atau sasaran untuk dibunuh? Pernah berlaku sebelum ini, pembakaran sekolah dan pembunuhan yang berlaku di sekolah. Bahkan seorang jiran saya pernah bercerita bahawa abangnya pernah menjadi mangsa cubaan bunuh dan beliau luka parah dalam serangan tersebut.
Pokok persoalannya tetap sama. Siapakah lelaki yang bertopeng yang membuat serangan ini? Serangan mereka begitu terancang dan cekap. Kerajaan Thai sering menunding jari kepada puak pemisah atau mudahnya PULO.
Pada hemat penulis, mana mungkin mereka yang ingin membebaskan tanahair mereka sanggup melakukan pembunuhan kejam terhadap warga yang juga sanak saudara mereka? Mereka pejuang Islam, Islam tidak pernah mengajar membunuh orang awam apa lagi ahli jemaah masjid yang sedang bersembahyang? Apakah guru yang mendidik anak bangsa mereka mesti menjadi sasaran mereka? Mana mungkin pejuang Islam sanggup membunuh berpuluh-puluh umat Islam dalam satu-satu serangan tetapi seorang dua nyawa Budha sebagai galang gantinya. Tidak masuk akal.
Pelik juga, bila berlaku sahaja pembunuhan dan korban nyawa.Kerajaan Thai terus menuduh puak pemisah sedangkan siasatan belum dibuat. Lebih pelik sudah bertahun pembunuhan kejam berlaku, kerajaan Thai masih gagal mengenalpasti malah menangkap dalang disebalik serangan ini. Lemah betul risikan Kerajaan Thailand kalau beginilah keadaannya. Apa yang boleh Tok Menel dan pukong-pukong lakukan untuk menjaga keselamatan rakyat dalam cawat mereka? Apakah pembunuhan dibiarkan begitu sahaja yang akhirnya kita dapat saksikan satu demi satu nyawa ustaz-ustaz, pelajar-pelajar pondok dan kru-kru melayang hilang dengan penuh tragis.
Sekiranya situasi begini berterusan, tidak pelik sekiranya rakyat tidak lagi percaya kepada pihak keselamatan Thailand dan akan bertindak sendiri untuk menuntut keADILan. Sayangnya umat Melayu Islam Thai adalah mereka yang miskin. Kemiskinan ini kesan ketidakadilan social Thai terhadap wilayah Selatan Thai.
Kita mengharapkan pembelaan terhadap saudara dan ahli keluarga kita di Pattani. Keselamatan dan kebebasan beragama mereka perlu dikembalikan. Mereka adalah sebahagian daripada kita. Persaudaraan Islam melangkau sempadan. Apa lagi mereka adalah sebangsa dengan kita. Kalau kita boleh menyumbang jutaan ringgit dan melancarkan derma besar-besaran untuk membantu saudara kita di Palestin yang berada jutaan batu, kenapa kita pejamkan mata untuk membantu saudara kita yang menderita di depan mata kita khususnya di Patani dan di Mindano?
Kita mengharapkan kenyataan-kenyataan berani Kerajaan Malaysia yang mendesak siasatan menyeluruh dengan kadar segera di atas tragedy-tragedi yang berlaku dan keADILan diberikan kepada umat Islam Pattani. Selain dari itu marilah kita sama-sama berdoa supaya Allah member pertolongan kepada saudara-saudara kita di Pattani dan tidak lupa untuk mendoakan supaya Allah memberi hidayah dan petunjuk kepada pemimpin mereka yang cuai dalam menjaga amanah kepimpinan. Kita juga mengharapkan musuh-musuh Allah itu diberi petunjuk atau dibinasakan. Marilah kita lafazkan qunut Nazliah dalam solat-solat kita. Sumbanglah apa yang terdaya.