Cuti sekolah 2 minggu banyak meninggalkan kesan suka duka bagi kami anak perantau yang bermastautin di bumi Sabah. Permulaan semester kedua ini telah menyaksikan insan-insan yang bergembira dan berduka. Itulah fitrah alam. Tiada suatu pun yang kekal pada manusia. Mutlak kekal hanya Allah SWT. Namun sebagai insan yang lemah, titipan persahabatan dan persaudaraan yang kami tautkan sekian lama di bumi bertuah Kinabatangan ini cukup memberi kesan pada jiwa-jiwa kami. Sekalipun yang datang dan pergi agak lali dalam kehidupan kami sebagai anak
perantau, sesekali tertusuk jiwa angin rindu dan nostalgia yang sama-sama diharungi dan menyelusuri arus tenang tapi bergelodak perut sungai Kinabatangan.
Agak terlewat penulis memaparkan catatan ini atas komitmen dengan kerja dan amanah ummah. Namun dikesempatan ini, penulis cuba memaparkan detik-detik indah bagi majlis perpisahan yang sahabat yang berpindah dan sahabat yang baru melangsungkan perkahwinan. Tiga orang sahabat yang didekatkan jarak perpisahan dengan pasangan masing-masing. Ust Fadzhil Izham dapat bertukar ke Shah Alam mengikut isterinya yang bertugas sebagai guru Jabatan Agama Islam Selangor, Ust Shukri dapat berpindah ke Segambut mengikut isterinya yang bertugas di Terengganu dan Ust Sallahuddin Sidi yang isterinya bertugas di Kelantan berpindah ke Sungai Anib, Sandakan.
Sekalipun perpindah ini seperti belum dapat menyelesaikan permasalahan yang mereka hadapi tetapi diharapkan dapat mengurangkan bebanan keluarga dan tekanan perasaan kerana berjauhan dengan anak dan isteri. Ust Shukri umpamanya terpaksa berulang alik setiap kali cuti dari Terengganu ke Sandakan. Bayangkan dari Sandakan beliau terpaksa menaiki kenderaan darat lebih kurang sejauh 80 kilometer untuk tiba di Kinabatangan. Selepas itu beliau terpaksa menaiki bot menyelusuri sungai Kinabatangan sekurang-kurangnya 5 jam untuk sampai di SK Kuamut. Itupun jika ada bot dan arus sungai tidak cetek. Jika kedua-dua perkara tadi bermasalah, beliau terpaksa kembali 10 kilometer ke pekan Kinabatangan untuk bermalam di kawasan kediaman kami. Ini dengan tidak mengambil kira risiko dalam perjalanan khususnya ketika menaiki bot. Kadang-kadang terpaksa berdayung menggunakan selipar sekiranya minyak bot habis. Penulis juga pernah melalui detik cemas ini. Bukan persoalan letih atau lengguh berdayung menggunakan selipar tetapi teringat dan terbayangkan ratusan buaya-buaya di dalam sungai Kinabatangan itu.Itulah rutin dan cabaran mereka yag bertugas di pendalaman.
Kehilangan Ust Fadzil turut menjejaskan gerakan dakwah disini kerana beliau banyak menyumbang dan tidak lokek tenaga dan kewangan untuk menyumbang dan setiasa siap siaga bila dipanggil untuk membantu gerak kerja dakwah. Beliau menasihatkan para sahabat yang masih ada supaya tidak menjadikan alasan tidak pandai berceramah bukan alasan untuk tidak terlibat dalam gerakan dakwah kerana dakwah itu bukanlah berkitar dengan ceramah sahaja. Beliau juga seperti tidak percaya dan belum bersedia untuk berpindah dan merasakan dirinya terperangkap di antara cintakan keluarga dan perjuangan di medan dakwah di Kinabatangan yang belum selesai.
Bagi Ust Sallehuddin yang menggerakkan dakwah di pendalaman Kinabatangan, tidak terasa sangat perpindahan ini kerana beliau hanya bertukar posisi sahaja bagi merasai suasana bandar dan memudahkan beliau untuk menghabiskan pengajian ijazahnya. Beliau menyatakan akan terus memberi komitmen terhadap dakwah di Kinabatangan, hatta bersedia untuk terus hadir dalam usrah-usrah yang akan datang. Kita mengharapkan kata-kata ini menjadi perangsang untuk kita semua.
Begitu berat kami melepaskan mereka pergi, tetapi kami bangga kerana mereka telah menyumbang keringat demi kelangsungan dakwah di sini. Mereka juga sudah bersama keluarga tersayang untuk melahirkan dan membina insan-insan soleh sebagai pewaris perjuangan pada masa yang akan datang. Harapan kami juga semoga mereka menjadi duta kami untuk membantu perjuangan dakwah di Sabah.
Pengantin Baru; Wan Khairul Izwan semoga berbahagia
persaudaraan yang ditautkan di PASTI
Jamuan ringkas penyegar minda
Kita masih menerima ujian yang tidak seberapa jika dibandingkan dengan pejuang-pejuang agama. Kita tidak diuji sehebat Keluarga Ammar bin Yasir dalam kerja agama. Kita tidak korbankan harta dan nyawa sebanyak Abu Bakar yang menyerahkan semua hartanya untuk perjuangan Islam dengan mengharapkan Allah dan Rasul sebagai galang ganti. Kita tidak seberani dan seikhlas Mus'ab bin Umair dan Saad bin Abi Waqas yang meninggalkan segala kebangsawan untuk Islam. Kita belum mengorbankan anak dan isteri/ suami seperti Masyitah kerana pertahankan aqidah Islam.
Ya... ujian kita masih rendah. Betulkan niat. Ikhlaskan hati. Kita terus berbakti. Terima kasih PASTI. Gelangang bervisi yang menautkan hati........