Sunday, July 5, 2009

Sotong Pasar Ikan Sandakan

Sudah dua kali hajat saya untuk menikmati ketupat sotong tergendala. Bukan senang juga nak dapat sotong yang besar dan sesuai untuk dibuat ketupat sotong kecuali sekali sekala ketika berkunjung ke pasar ikan Sandakan. Pasar Ikan Sandakan mempunyai bermacam jenis ikan yang agak segar dan boleh dikatakan lebih murah jika dibandingkan dengan tempat-tempat lain. Cuma kita perlu berhati-hati dan bersifat tegas dengan penjual-penjual ikan disini.


Pengalaman peribadi saya cukup untuk membuktikan bahawa cara jual beli mereka boleh menyusahkan kita.

Pengalaman Pertama: Sotong
Pasar ikan yang kadang-kadang basah dan keriuhan pejualnya sedikit sebanyak menyebabkan fikiran kita untuk membuat pilihan dengan baik terganggu. Adakalanya mereka menyusun ikan dan sotong yang besar dan segar dihadapan dan dibawahnya adalah ikan atau sotong yang kecil-kecil. Bila kita minta ikan atau sotong tersebut mereka akan kaut daripada bawah yang terdiri dari yang kecil-kecil dengan jumlah yang banyak. Maksudnya lebih dari permintaan kita. Selepas itu, mereka akan mengeluarkan yang besar-besar itu dengan alasan lebih kilo yang kita minta. Ini dapat memastikan sotong yang besar yang menjadi umpan itu dapat diselamatkan. Kita hanya dapat yang kecil-kecil sahaja. Ini taktik penjual yang menyebabkan 2 kali saya kempunan untuk makan ketupat sotong.

Pengalaman Kedua : Bahai Untuk Budak
Pernah suatu ketika, bilamana saya membeli ikan dan dibayar, bahai ikan saya diserahkan kepada budak-budak yang menjual bahai (plastik). Saya terkejut kerana pelik ikan saya diberikan kepada mereka. Bila saya bertanya, mereka minta saya bayar plastik budak itu. Sedekah paksa.

Pengalaman ketiga : Baru Tanya Sudah Siap
Ini juga taktik yang glamour di Pasar Ikan Sandakan. Kita baru mahu 'survey' harga ikan dengan bertanya harganya. Penjual terus memasukkan ikan-ikan yang kita tunjuk untuk tanya itu. Ini menyebabkan saya menjadi serbasalah. Sebab nak 'cover 'malu, ambik jugalah. Tidak dinafikan jika kita menolak, mereka terima juga.

Pengalaman-pengalaman ini sepatutnya tidak berlaku kerana ianya boleh menyebabkan rosaknya jual beli. Selain itu, agak rugilah sepatutnya jual beli yang halal boleh menjadi haram. Apa lagi, inilah gambaran dan perniagaan yang dimiliki oleh bumiputera. Macammana bumiputera ingin maju dalam perniagaan jika sekiranya perniagaan yang kecil dan 'simple' seperti ini sudah dicemari dengan penipuan. Ini belum dilihat dari segi ketelusan penggunaan timbangan

Cadangan kepada pihak Berwajib atau Radio Sandakan:
1. Selalu memantau ketelusan penjualan
2. Menyediakan peti aduan untuk menerima aduan pengguna
3. Penguatkuasaan terhadap "Budak Hanyut" diperkukuhkan demi menjaga keselamatan dan keselesaan penggguna.
4. Tazkirah dan peringatan kepada penjual-penjual supaya jujur dan dapatkan rezeki yang halal dalam perniagaan.

Anak Legeh Di Perantauan Sudah Kembali | Template by - Abdul Munir - 2008