Monday, October 19, 2009

Andartu/ Andalusia: Bukan Hanya Salah Wanita

Golongan wanita sering dipersalahkan dalam kes lambakan wanita yang lambat berkahwin. Mereka dileparkan tuduhan seperti terlalu memilih dan sebagainya. Bahkan lebih teruk daripada itu, mereka dianggap wanita lebihan pilihan. Pemikiran sebegini sepatutnya diperbaiki dan diperbetulkan dengan neraca agama. Islam agama yang memartabatkan wanita. Lihat sahajalah wanita zaman jahiliah yang diperdagangkan sebagai barang dagangan. Ianya dipindah milik dan dipusakai. Tempatnya hanya layak sebagai mainan dan pemuas nafsu serakah lelaki. Zaman firaun, wanita hamil bani Isreail di bunuh demi mengelak lahirnya anak lelaki yang bakal membinasakan kerajaan Firaun.

Islam tampil membela dan memartabatkan wanita. Rasulullah mengangkat darjat janda-janda sebagai ummi mukminat, Aisyah sebagai ahli fekah terkenal dan Fatimah digambarkan sebagai suri teladan terbaik ummah yang menjaga kebajikan dan keperluan seorang pekerja Islam sepenuh masa Saidina Ali Karimallahuwajha.

Hari ini kita menyaksikan sikap manusia seperti kembali meninggalkan petunjuk yang dirintis Nabi SAW. Ciri-ciri memilih jodoh lebih disandarkan kepada material dan fizikal. Penulis pernah berhadapan dengan beberapa orang lelaki yang ingin berkahwin buat pertama kali dan ingin berkahwin untuk keseterusnya. Kita renungkan kata-kata mereka.

Kes Pertama:
Mad seorang ahli perniagaan. Saya belum"kahwin lagi" dan bercadang untuk melakukannya. Pilihan saya seorang wanita yang berkerjaya dan dipinang oleh isteri saya. Saya mahukan isteri saya meminangnya. Kalau dia tidak mahu terpaksalah saya menunggu sehingga dia mahu.

Kes Kedua:
Dar seorang pemandu. Umur hampir mengjangkau usia kerasulan. Masih teruna. Ustaz, tolong cari saya seorang wanita untuk dijadikan suri hati saya. Perempuan yang macammana awak mahu? Tanyaku. Perempuan cantiklah.... bodynya....saiz...... Aduh....

Kes Ketiga:
Zul sudah mempunyai 4 orang anak dan bertugas di kawasan pendalaman Sabah. Dia berhasrat berkahwin lagi dengan bersyarat. Perempuan itu seorang doktor, berbangsa Cina dan dipinang oleh isteri saya.

Kes Keempat :
Isam sudah lama berkerja dan mempunyai kedudukan ekonomi yang agak kukuh yang melayakkan dia berkahwin. Dia memberi alasan tidak berkahwin kerana belum bertemu jodoh. Ada juga yang dia suka dan disukai tetapi......... si dia orang semenanjung. Susah kahwin orang jauh.

Apa yang dapat saya rumuskan dalam keempat-empat kes di atas, semuanya tidak meletakkan ciri-ciri pasangan yang diberi keutamaan dalam agama dalam memilih jodoh sebagaimana diingatkan oleh Rasulullah SAW:

عَنِ أَبي هُريرة رضيَ اللَّهُ تَعَالَى عَنْهُ عَنِ النبيِّ صَلّى الله عَلَيْهِ وَسَلّم قال: " تُنْكحُ الْمَرْأَةُ لأرْبَعٍ: لمالها ولِحَسَبها ولِجَمَالها وَلدينها: فَاظْفَرْ بذاتِ الدِّينِ تَربَتْ يَدَاكَ " مُتّفَقٌ عَلَيْهِ

Islam menekankan soal agama yakni soal solehah dan wara' dalam kehidupan seharian. Persoalan kecantikan (termasuk saiz body), keturunan dan harta adalah persoalan yang terkebelakang. Sekiranya perempuan itu melengkapi syarat keagamaan nescaya persoalan-soalan lain dapat diselesaikan. Pelik pula sekarang ini, lelaki pula yang meletakkan syarat. Apa lagi syarat kebendaan. Apakah lelaki hari ini sudah tidak mampu untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang suami ? Suami yang menyara keluarganya. Isteri yang solehah pastinya akan bersifat "Qanaah" (bercukup dengan apa yang ada. Mereka akan menerima apa yang termampu diberikan oleh pihak suami. Malah suami tidak boleh mendidik isterinya dengan kebendaan

Sebenarnya wanita tidaklah terlalu berkehendak kepada kebendaan yang ada pada lelaki kecuali wanita-wanita yang tidak terdidik dengan agama. Penulis pernah melamar beberapa orang gadis untuk kawan. Apa kata mereka.


Kes Satu:

Saya minta sedikit masa Ustaz untuk bertanyakan kedua ibuabapa saya. Cuma bagi saya jika seseorang lelaki itu layak jadi imam sembahyang, maka dia layak memimpin saya


Kes Kedua :
Bagaimana komitmen lelaki yang ustaz maksudkan itu kepada jemaah Islam? Jika dia istiqamah dan komited melakukan kerja jemaah bermakna dia orang yang tidak mementing diri sendiri. Orang seumpama ini biasanya akan menjadi suami yang baik. Itu ulasan seorang siswi di sebuah Universiti bila penulis menyatakan hasrat kawan penulis.


Kedua-dua wanita ini berjaya disatukan dalam masa yang cepat dan berjaya membina keluarga bahagia dan kerjaya yang baik sehingga sekarang.

Kes-kes ini menunjukkan kepada kita kemandulan dan rendahnya rasa pertanggungjawaban lelaki dalam memikul tanggungjawab terhadap ummah. Persoalan kahwin hanya dijadikan agenda perbualan mengisi masa lapang dan menyedapkan mulut sahaja. Hakikatnya, semakin tandus lelaki yang bersedia menjadi pembela ummah dan memimpin keluarga menuju jalan sakinah.

Syariat Islam mestilah kembali dijadikan sebagai landasan dengan meletakkan keyakinan kepada Allah SWT. Bilamana Allah memberi amanah kepada kita, Allah akan membekalkan peruntukan rezeki yang sepatutnya. Kita tidak perlu bimbang tentang rezeki kerana Allah tidak akan menyusahkan hambanya yang bekerja untukNya.

Anak Legeh Di Perantauan Sudah Kembali | Template by - Abdul Munir - 2008