Mualaf atau Saudara Baru di Sabah boleh diangggap sebagai golongan majoriti terutama di kawasan pendalaman Sabah. Masyarakat Dusun, Murut, Sungai, Idaan dan sebagainya. Kebanyakan mereka beragama Kristian sebelum memeluk Islam. Ada yang menyalahkan pendakwah Islam kerana gagal dan tidak mendekati mereka yang menyebabkan mereka memilih kristian sebagai agama anutan awal mereka. Ini kerana pendakwah kristian terlebih awal mendekati mereka.
Sememangnya mereka adalah anak-anak tempatan yang memangnya patut diberi keutamaan oleh Kerajaan Negeri Sabah. Setiap tahun mereka dibajai dengan wang zakat dan juga kebajikan-kebajikan yang lain. Mereka diajak memeluk Islam. Setiap kali mereka memeluk Islam, mereka diberikan songkok sebagai tanda telah memeluk Islam sebagai anutan mereka. Bahkan ada kerana minatnya mereka kepada Islam, mereka memeluk Islam sehingga 5 kali dan mendapat 5 songkok keislaman mereka.
Menurut sejarah Nunuk Rangang, sebuah perkampungan orang-orang Dusun, di antara perjalanan Pekan Telupid ke Ranau pernah berlaku pengislaman sehingga 3,000 orang pada zaman pemerintahan parti berjaya pimpinan Datuk Haris Salleh (Beliau masih hidup). Namun realitinya sekarang, kampung itu terlalu sunyi dengan keislamannya. Islam terlalu minoriti dan cara hidup Islamnya terlalu dhaif. Pekan Telupid umpamanya tempat percambahan agama kristian. Tumbuh gereja berbagai mazhab di sana, bahkan wujud pusat pengkaderan yang sebut (penulis tidak pasti, hanya berasaskan maklumat setempat) antara yang terbesar di Malaysia. Dimana 3,000 orang penganut Islam yang diistiharkan itu?
Tinjauan penulis terhadap mualaf ini mendapati timbul beberapa masalah menyebabkan mereka kembali kepada agama asal dan juga terus sahaja dengan Islam tetapi Islam sekadar nama. Antaranya ialah:-
a. Tujuan atau niat memeluk Islam
Mereka memeluk Islam dalam keadaan mereka mengharapkan sesuatu daripada pemerintah. Tidak pasti sama ada mereka dijanjikan atau mereka yakin mereka akan dapat sesuatu sekiranya mereka memeluk Islam. Malah ada yang marah-marah dan menyesal memeluk Islam kerana hajat mereka tidak termakbul. Umpamanya, mereka memeluk Islam kerana mahukan permohonan tanah (LA) mereka diterima menjadi hak miliki mereka. Apa yang terjadi, apabila mereka memeluk Islam, bukan setakat tanah yang mereka pohon itu tidak dapat, mereka pula kehilangan penghormatan dalam agama asal mereka. Akibatnya mereka menyalahkan Islam kononnya menyusahkan hidup mereka.
Inilah sebabnya ,Islam menekankan keikhlasan dalam beragama sebagaimana berlaku pada zaman hijrah Nabi dan para sahabat ke Madinah. Rasulullah menekankan tentang kebenaran niat. Allah akan berikan mengikut niat dan tujuan mereka.
قال : سمعت رسول الله (صلى):يقول (انما الأعمال بالنيات ولكل امرئٍ مانوى,فمن هجرته الى الله ورسوله فهجرته الى الله ورسوله ,ومن كانت هجرته الى دنيا يصيبه أ امرأة ينكحها فهجرته الى ما هاجر اليه) رواه البخارى ومسلم
Pendakwah kita masih lemah. Itu hakikat yang perlu kita akui dan kita perbaiki. Ini tidak sepatutnya berlaku kerana Islam telah menjadi agama resmi di Sabah semenjak penyertaan Sabah ke dalam Malaysia pada tahun 1961 lagi. Majoriti Ketua Menteri Sabah adalah Islam kecuali beberapa orang terutama di Zaman pemerintahan parti PBS dan zaman Barisan Nasional sahaja yang ada Ketua Menteri bukan Islam. Kerajaan Sabah, ada MUIS, ada USIA bahkan JHEAINS. MUIS kaya dengan tanah. Tanahnya disewa dan digunakan untuk pembangunan projek-projek besar, pastinya pulangan yang lumayan untuk perkembangan Islam. Itu kekuatan politik dan ekonomi yang ada pada penguasa untuk membantu mengadakan program susulan dan program pengukuhan saudara baru.
Namun apa yang berlaku amat menyedihkan. Saudara baru seakan dibiarkan terkapai-kapai mencari kemudi. JHEAINS seakan dibiarkan keseorangan untuk mengendalikan urusan Islam di Sabah. Masyarakat seringkali menunding jadi kepada JHEAINS kerana gagal mengurus hal ehwal Islam Sabah. Wakil-wakil JHEAINS menjadi terkenal pada bulan Ramadhan dan dekat hari raya kerana kehadiran mereka untuk mengutip zakat fitrah. Hakikatny, apalah yang ada pada JHEAINS? Apa yang mereka mampu lakukan dengan kudrat mereka yang terlalu sedikit.Dana yang serba kekurangan. Merekalah yang mengurus setiap kematian, merekalah yang mengurus setiap nikah kahwin, merekalah yang mengendalikan doa-doa selamat dan kenduri arwah, mereka jugalah yang mengimarahkan masjid. Malam dan siang mereka berkerja. Keikhlasan dan keringat mereka tidak boleh disangkal sama sekali. JHEAINS perlu diperkasakan, pegawai dan kakitangan JHEAINS MESTI ditambah. MUIS dan USIA mesti kembali pada posisinya.
(( يسروا ولا تُعسروا، وبشروا ولا تنفروا )) متفق عليه.