Thursday, October 8, 2009

Usrah Malam ini: Dakwah & halangannya

1. Pendahuluan

Kehidupan pasti menemukan manusia dengan pelbagai ujian dan rintangan. Malahan dalam kehidupan , seorang muslim sememangnya yakin bahawa mereka pasti akan menempuh halangan-halangan dan uijian-ujian. Ini adalah kerana mereka memahami tujuan kehidupan manusia di atas muka bumi sebagaimana Firman Allah :

أحسب الناس أن يتركوا أن يقولوا امنا وهم لا يفتنون

Maksudnya : " Adakah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan mengatakan bahawa mereka beriman sedangkan mereka tidak diuji dengan apa-apa ujian ?"
( Surah al Ankabut : 2 )

Sabda Rasulullah ( S.A.W.) ( Muslim, Kitab al Jannah, 5049 ) :

حفت الجنة بالمكاره وحفت النار بالشهوات
Maksudnya : " Sesungguhnya syurga dihampari dengan kesusahan dan neraka dihamparkan dengan nafsu syahwat ".

Oleh yang demikian ujian dan halangan adalah merupakan sebahagian daripada kehidupan atau merupakan sunnah Allah yang tidak dapat dipisahkan. Walau bagaimanapun dalam usaha untuk menangani halangan ini Allah S.W.T. telahpun meletakkan garis panduan yang cukup sempurna yang perlu difahami oleh umat manusia. Kegagalan untuk memahami dan mengamalkan segala petunjuk yang telah digariskan Allah akan membawa manusia ke lembah kehancuran. Antara halangan yang dapat kita kenal pasti ialah sebagaimana Sabda Rasulullah S.A.W. :
المؤمن بين خمس شدائد : مؤمن يحسده ، منافق بيغضه ، وكافر يقاتله ، وشيطان يضله ، ونفس تنازعه
Maksudnya : " Seorang mukmin terpaksa mengharungi 5 halangan utama : iaitu golongan yang hasad dengki kepadanya , golongan munafik yang memarahinya , golongan kafir yang memeranginya , syaitan yang ingin menyesatkannya dan hawa nafsu yang menyentapnya.

2. DAKWAH DAN HALANGAN

Para pendakwah berdepan dengan beberapa halangan besar, antaranya ialah :

2.1 Halangan Diri dan Nafsu

Antara halangan yang paling berat dan mengancam kepada penerusan dakwah ialah ancaman dalaman individu dai’ itu sendiri yang berupa nafsu dan kejahilan. Runtunan nafsu tidak tertanggung oleh mereka yang lemah imannya atau golongan yang tidak mengetahui dengan pasti tujuan kewujudannya di atas muka bumi ini. Oleh yang demikian benarlah sebagaimana Firman Allah :

وما أبرئ نفسي إن النفس لأمارة بالسوء إلا ما رحم ربي إن ربي غفور رحيم
Maksudnya : " Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku : sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku ( maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu ). Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani ".
( Surah Yusuf : 53 )

Nafsu adalah suatu alat pemangkin yang amat berkaliber dalam melakukan nsesuatu tindakan sama ada baik atau buruk berdasarkan kepada siapa yang dapat mengawalnya sama ada tarikan iman atau tarikan syaitan . ( Sulaiman Ibrahim : 2001, 327 )
Firman Allah S.W.T. :

ونفس وما سواها فألهمها فجورها وتقواها قد أفلح من زكاها وقد خاب من دساها
Maksudnya : " Demi diri manusia dan apa-apa yang Dia telah sempurnakan kejadiannya ( dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaan ) , lalu Dia mengilhamkannya ( nafsu itu ) jalan yang membawa kepada kejahatan , dan yang membawanya kepada bertakwa. Sesungguhnya berjayalah orang yang menyucikannya ( nafsu itu ) dan sesungguhnya hampalah orang yang mengotorinya ( nafsu itu )".
( Surah al Syams : 7 – 10 )

Maka menjadi kerugian kepada setiap individu yang melalaikan nafsunya daripada amalan yang boleh membawanya kepada keimanan. Dan nafsu itu bersemi di dalam hati setiap manusia, maka sesiapa yang mampu menjaga hatinya maka ia telah berjaya menjaga nafsunya.

Jenis-jenis Halangan Jiwa
Antara halangan-halangan yang terkumpul pada jiwa ialah :
a. Hasad dengki
b. Ego dan bongkak
c. Kagum dengan diri sendiri
d. Sombong

Asas-asas Penjagaan Hati
i. Berzikir kepada Allah setiap tempat dan ketika.
ii. Mengingati Bahawa Allah sentiasa memerhati kita
iii. Mujahadah nafsu ; jaga makan , minum, kata-kata , sabar dan lain-lain.

2.2 Halangan Biah dan Situasi

Persekitaran atau biah adalah antara halangan yang dapat mempengaruhi kehidupan seseorang individu secara langsung dan amat parah kesannya. Persekitaran yang rosak atau adapt istiadat yang rosak yang telah bersemi di dalam kehidupan masyarakat menjadikan ianya satu halangan yang kadang-kadang menyebabkan ramai para daie yang turut musnah bersamanya. Ia berlaku dalam semua aspek kehidupan sama ada dari aspek agama , akhlak , moral , upacara-upacara , adapt dan sebagainya. Situasi inilah yang paling berat dihadapi oleh para Nabi dan Rasul kerana kebenaran dilihat sebagai musuh utama kepada mereka.

Firman Allah S.W.T. :
وإذا تتلى عليهم آياتنا بينات قالوا ما هذا إلا رجل يريد أن يصدكم عما كان يعيد آباؤكم وقالوا ما هذا إلا إفك مفترى وقال الذين كفروا للحق لما جاءهم إن هذا إلا سحر مبين

Maksudnya : " Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat keterangan Kami yang jelas nayata , berkatalah mereka ( sesama sendiri ) : " Orang ini ( Muhammad ) tidak lain hanyalah seorang lelaki yang hendak menghalang kamu daripada menyembah apa yang telah disembah oleh datuk nenek kamu " ; dan mereka berkata lagi : ( Al-Quran ) ini tidak lain hanyalah kata-kata dusta yang direka-reka ": dan berkatalah orang-orang yang kafir terhadap kebenaran ketika datangnya kepada mereka : " ini tidak lain hanyalah sihir yang terang nyata ".
( Surah Saba : 43 )

Halangan bi'ah adalah lebih kepada cara hidup masyarakat seharian iaitu dari aspek kebudayaan , pakaian , perkahwinan dan keagamaan.

Firman Allah :

قالوا أجئتنا لنعبد الله وحده ونذر ما كان يعبد آباؤنا فأتنا بما تعدنا إن كنت من الصادقين

Maksudnya : " Mereka berkata : Adakah engkau datang kepada kami supaya kami hanya menyembah Allah semata-mata , dan meninggalkan apa yang pernah disembah oleh datuk nenek kami ? ( Kami tidak akan menurut ) maka datanglah azab yang engkau janjikan kepada kami , jika betul engkau dari orang-orang yang benar".
( Surah al- A’raf : 70 )

2.3 Halangan Keluarga , Anak , Isteri dan Kebendaan

Kaum keluarga , anak dan isteri adalah antara halangan-halangan yang boleh memesongkan seseorang daripada menunaikan hak dan tanggungjawab kepada Allah. Walaupun ia adalah tanggungjawab yang perlu disempurnakan oleh seseorang tetapi hendaklah ianya tidak melalaikannya daripada Allah.

Firman Allah :

يا أيها الذين آمنوا لا تلهكم أموالكم ولا أولادكم عن ذكر الله ومن يفعل ذلك فأولئك هم الخاسرون

Maksudnya : " Wahai orang-orang yang beriman ! Jaganlah kamu dilalaikan oleh( urusan ) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah ( dengan menjalankan perintah Nya ). Dan ( ingatlah ) sesiapa yang melakukan demikian , maka mereka itulah orang-orang yang rugi ".
( Surah al- Munafiqun : 9 )

Malahan dalam ayat yang lain Allah menyifatkan anak isteri terkadang boleh menjadi musuh kepada dakwah Allah.

Firman Allah :

يا أيها الذين آمنوا إن من أزواجكم وأولادكم عدوا لكم فاحذزوهم وإن تعفوا وتصفحوا وتغفروا فإن الله غفور رحيم

Maksudnya : " Wahai orang-orang yang beriman ! Sesungguhnya ada di antara isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu yang menjadi musuh bagi kamu : oleh itu awaslah serta berjaga-jagalah kamu terhadap mereka. Dan kalau kamu memaafkan dan tidak marahkan (mereka) serta mengampunkan kesalahan mereka ( maka Allah akan berbuat demikian kepada kamu ) , kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.
( Surah al Taghabun : 14 )

Sumber : http://fizalayu.blogspot.com

Anak Legeh Di Perantauan | Template by - Abdul Munir - 2008