Tuesday, November 3, 2009

Pejuang Bangsa ?? ? : Respon Sdr Rosli

Saudara Pengarang,

Bangsa adalah ketetapan Allah kepada setiap manusia. Ketetapan ini bukan bermaksud Allah melebihkan mana-mana bangsa di atas dunia ini. Antara makhluk, Allah lebih manusia kerana manusia memikul tanggungjawab sebagai khalifah di muka bumi. Tugas khalifah ini memakmurkan bumi dengan menegakkan syariat Islam dan mententeramkan dunia dengan Islam. Sebab itu Allah menegaskan manusia adalah sebaik-baik kejadian. Tidak pula disebutkan bangsa mana yang terbaik di dalam Al-Quran. Malah Bani Isreail yang paling ramai nabi dari kalangan mereka , dilaknat oleh Allah, lantaran keingkaran dan kekaguman mereka kepada bangsa mereka.

Saya berterima kasih kepada saudara Rosli Alin yang telah memberi komen kepada berita yang saya tulis berkaitan pejuang bangsa pengkhianat , telah disiarkan oleh Sabahkini. Pertembungan kefahaman dan respon Saudara Rosli Alpin sebenarnya baik untuk perkembangan ilmu dan percambahan idea walaupun saya bukanlah orang yang terbaik untuk membincangkannya secara ilmiah. Namun dengan sekadar ilmu yang ada, saya yakin, kita dapat berkongsi untuk mencari kebenaran ilmu Allah SWT.

Respon kepada soalan pertama saudara Rosli :

Kenapa bangsa yang dikaitkan dengan pengkhianatan kepada Allah?

Soalan yang sebenarnya, Kenapa pejuang bangsa dikaitkan dengan pengkhianat kepada Allah.

Respon:

1. Masyarakat Arab Jahiliah dikategorikan sebagai jahiliah kerana sikap taasub pejuang bangsa yang mendakwa bangsa mereka layak itu dan ini.

2. Antara sebab pengutusan Rasul juga adalah untuk membasmi dan merubah pejuang-pejuang bangsa ini. Antara pejuang-pejuang Bangsa yang terkemuka zaman nabi seperti Abu Lahab, Abu Jahal, Mughirah, Abu Sufian dan ramai lagi. Mereka menentang Rasulullah kerana dianggap ajaran Rasulullah bertentangan dengan ajaran nenek moyang mereka.

3. Halangan perpaduan berhubungkait dengan semangat Asobiyyah (mementingkan puak masing-masing). Asobiyyah ini membuatkan manusia fanatik kepada bangsa masing-masing. Mendakwa bangsa mereka patut mendapat itu dan itulah yang menyebabkan Allah menghina Bani Isreail. Semua bani Isreal, jahat ke? Nabi Musa, Nabi Yaakub, Yusof, Daud dan ramai lagi Rasul dari kalangan mereka. Bangsa Yahudi berulang-ulang kali melakukan cubaan untuk membunuh Rasulullah. Bahkah Buhaira' seorang pendita Yahudi, setelah melihat pada Muhammad itu ada tanda-tanda kerasullan, ketika Abu Talib membawa nabi berniaga di Syam, Beliau memerintahkan kepada Abu Talib segera membawa nabi pulang kerana dibimbangi akan dibunuh orang kaum Yahudi. Pejuang Bangsa Yahudi mendakwa mereka bangsa yang terbaik dan orang yang terbaik (Rasul) mestilah dari kalangan mereka.

4. Rasulullah menafikan seorang pejuang Ansor, Qotzman yang terbunuh di dalam perang sebagai pahlawan neraka. Apakah Rasulullah tidak mahu mengiktiraf sumbangan pahlawan Ansar ini. Beliau telah berjuang mati-matian kerana ingin membela bangsanya bukan agamanya. Saidina Ali pernah membatalkan hasratnya memancung kepala musuhnya, kerana diludah oleh musuh perang. Ini kerana niat Ali berperang sudah berubah. Niat berperang kerana Allah sudah menjadi kerana nafsunya akibat diludah.

5. Seandainya perjuangan berteraskan bangsa yang paling layak adalah pejuang bangsa Yahudi. Mereka bangsa yang mempunyai kehebatan mengatasi bangsa lain. Mereka bangsa yang bijak, kaya,berpengaruh dan disebut di dalam kitab-kitab suci seperti Injil, Taurat dan Al-Quran. Mereka sendiri mempunyai kitab Talmud. Akan tetapi dimana-mana bangsa Yahudi ini bertapak , mereka dihalau dan diperangi. Sehingga sekarang mereka berjuang untuk menguasai semenanjung Arab tetapi masih melalui ranjau yang berapi. Ini kerana Yahudi terlalu kagum dengan bangsa mereka dan meletakkan bangsa lain sebagai bangsa yang hina. Mereka sanggup membunuh kerana menjaga kemuliaan bangsa mereka.

6. Realiti hari ini pun kita melihat, perjuangan yang berteraskan kebangsaan telah memporak perandakan negara. Masing-masing pejuang bangsa cuba membela bangsa mereka. Mereka mahukan bangsa mereka dilebihkan. Persoalannya, bangsa mana mahu hak mereka dikurangkan? Kalau masing-masing mahu lebih dan tidak mahu mengalah.... Apa akan jadi?

7. Berapa ramai pemimpin dan pejuang bangsa terpaksa berpura-pura dihadapan bangsa mereka bahawa mereka pejuang bangsa mereka? Akan tetapi, hakikatnya mereka melalui jalan sukar untuk mempertahankan kelebihan bangsa. Apa lagi, andainya pejuang bangsa itu dari kalangan mereka yang jauh dengan bimbingan Allah SWT. Semestinya mereka akan jadi pengkhianat Allah untuk mendapat hak bangsa mereka. Bahkan Allah sanggup dilawan bila hak bangsa mereka tidak diberikan sepertimana yang berlaku kepada Bani Isreail.

8. Tiada suatu kitab Sahih pun milik bangsa tertentu yang menerangkan kelebihan bangsa tertentu dan bangsa lain perlu menghormati hak-hak bangsa ini. Kalau sekadar catatan sejarah yang kerap dimanipulasikan oleh mereka berkepentingan... siapalah yang akan akur dan tunduk taat kepada cebisan catatan itu?

9. Pejuang bangsa adalah didikan penjajah yang telah berjaya melaksanakan dasar pecah dan perintahnya bagi mengekalkan kuasa dan pengaruh mereka di mana-mana tempat tanah jajahan mereka.

10. Realiti di Sabah juga, pejuang bangsa tidak layak memimpin kerana kita mempunyai kepelbagaian bangsa atau suku yang paling banyak di Malaysia.Mengutamakan bangsa atau suku tertentu bagaikan menyuburkan api dalam sekam yang membarah dijiwa-jiwa ummah. Masa dan ketika meletup, tiada ubat, tiada penawar.

11. Allah tidak pernah memuliakan mana-mana bangsa di atas dunia ini sekalipun bangsa Isreail dan bani Quraisy. Ini berdasarkan kepada firmanNya dalam Surah Al-Hujurat; Ayat :13

يا أيها الناس إنا خلقناكم من ذكر وأنثى وجعلناكم شعوبا وقبائل لتعارفوا إن أكرمكم عند الله أتقاكم إن الله عليم خبير.

Rasulullah memperjuangkan persamarataan hak sesama manusia. Apa bangsa sekalipun dia. Pada sisi Allah yang paling mulia adalah mereka yang paling tinggi taqwanya kepada Allah.Sekalipun Rasulullah berbangga dengan bangsa Quraisynya, Rasulullah tidak mengetepikan hak bangsa lain. Bahkan Khulafa' Ar-Rasyidin bermula dengan Bani Tamim, Bani Adi, Bani Umaiyah dan Bani Hasyim.

Tradisi bangsa yang tidak bercanggah dengan syariat dan tidak menindas orang lain bebas dilaksanakankan kerana itu keunikan bangsa.Berbanggalah seadanya kerana kita tidak memilih sendiri bangsa kita. Bangsa ditentukan Allah, hidup kita ditentukan Allah. Kita iktihiar dan berjuang dalam lingkup keharusan dan ketetapan syarak. Ingatlah, As-Syahid Hassan Al-Banna pernah menyebut : Kewajipan yang kita pikul lebih banyak daripada masa yang kita ada". Justeru itu, kenapa kita bazirkan sisa masa ini dengan memperjuangan perkara yang boleh menjurus kita ke neraka Allah? Neraka tempat yang paling layak bagi pengkhinatan kepada Amanah Allah.

Sekadar itu, termampu saya lontarkan hujah dan pandangan bagi mengukuhkan berita yang saya tulis mengenai tazkirah guru saya Ust Ghani Syamsuddin.Bukan untuk berdebat, jauh sekali untuk menegakkan benang basah. Kita sama-sama berusaha mencari kebenaran dan menyebarkan luaskan rahmat Allah dimuka bumi.Yakinlah, tiada sesuatu yang sempurna kecuali Allah SWT. Semoga dapat kita kongsi bersama.

Berkenaan persoalan ke 2, saudara Rosli, InsyaAllah, jika diberi kesempatan, saya akan memberi responnya.Bagaimana pula dengan mereka yang kononnya berjuang menegakkan agama Islam tapi pada masa yang sama berusaha untuk memutuskan tali silaturrahim serta memporak-prandakan bangsanya sendiri bagi tujuan kepentingan dan kesenangan diri dan puak-puak.

Terima kasih Saudara Rosli Anjun atas perbincangan ini.

Anak Legeh Di Perantauan Sudah Kembali | Template by - Abdul Munir - 2008