Sunday, November 15, 2009

2009 Tahun Gemilang PASTI Sandakan

SANDAKAN ; Setelah 20 tahun PASTI bertapak di bumi Sandakan, Tahun 2009 merupakan tahun yang gemilang bagi PASTI Zon Sandakan. Ulang tahun ke 20 PASTI Zon Sandakan disambut dengan pertambahan empat buah PASTI baru. Pertambahan ini merupakan pertambahan yang paling banyak semenjak PASTI mula beroperasi di Sandakan pada tahun 1989. PASTI Saidina Abu Bakar As-Siddiq yang menjadi PASTI tapak pemula beroperasi di Bangunan Cosy, Jalan Chi Hwa, Batu 1 1/2 , Sandakan. Sepuluh tahun kemudian, iaitu 1999 berdirinya PASTI Umar Al-Khatab di Taman Indah Jaya.


PASTI Sandakan terus berkembang pada tahun 2000, 2002,2003 dan 2005. Pada tahun 2008, dua buah PASTI mula beroperasi dan tahun 2009 empat buah PASTI tumbuh. Empat buah PASTI tersebut ialah PASTI Zaid Bin Harithah di Kg Lupak Meluas, Batu Sapi, PASTI Bilal Bin Rabah di Karamunting, PASTI Abdul Rahman bin Auf di Taman Kenari dan PASTI Darul Hikmah di Kg Sentosa Jaya, Kinabatangan. Dalam tempoh 20 tahun PASTI Sandakan beroperasi, sudah wujud 12 buah PASTI yang menabur bakti dan mendidik kanak-kanak Pra sekolah. Tema "membina Generasi Al-Quran" cukup sinonim dengan perjuangan Dewan Pemuda PAS melalui wadahnya PASTI untuk berdakwah bermula daripada rebun. Rebun inilah diharapkan akan menyemarakan perjuangan Islam dan amal Islami di kalangan marsyarakat Sabah. Demikian tegas Izhar Hamka, Pengerusi PASTI Zon Sandakan.


Izhar yang ditemui di Majlis Konvokesyen PASTI Kali ke 20 di SM Yu Yuan disini melahirkan keyakinan PASTI akan terus berkembang sekalipun terpaksa bersaing sengit dengan Pra Sekolah dan Kemas yang percuma. Permintaan masyarakat kepada pendidikan agama semakin tinggi kerana masyarakat semakin sedar bahawa pendidikan Islam sahajalah yang dapat menyelamat anak mereka daripada anasir-ansir buruk yang disebarkan oleh media-media dan juga individu yang berkrisis minda. Ibubapa bersedia mengorbankan wang ringgit demi pendidikan Islam anak-anak mereka.


Konvokesyen ke 20 PASTI Sandakan yang dipimpin Haris Bahar melibatkan 184 orang pelajar PASTI dari kawasan Sandakan, Kinabatangan, Libaran dan Batu Sapi. Tuan Hj Hamzah Abdullah, Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah telah merasmikan dan menyampaikan sijil Konvokesyen kepada para graduan PASTI.

Anak Legeh Di Perantauan | Template by - Abdul Munir - 2008