Thursday, February 11, 2010

Sikap Tidak Setia Dicela

Dalam kekalutan Anwar turun naik ke mahkamah untuk mempertahankan diri dan maruahnya, beliau dikhianati oleh rakan seperjuangan yang belot daripada perjuangan. Tindakan Ahli parlimen Bayan Baru, Datuk Zahrain Mohd Hashim meninggalkan parti agak melukakan sekalipun tidak terkejut jika dilihat kepada tindak tanduk beliau dan beberapa orang rakannya sejak akhir-akhir ini.

Soal tidak puas hati sepatutnya boleh disalurkan melalui platform parti dan forum Pakatan Rakyat. Namun demikian Zaharin dan rakan-rakan dilihat lebih gemar menggunakan lidah-lidah musuh untuk menyatakan luahan perasaan mereka. Ini menunjukkan mereka sudah tidak menghormati saluran yang disediakan oleh parti dan merupakan pengkhianat kepada parti serta perjuangan. Ketidakakuran kepada peraturan parti atau jemaah melibatkan soal wala' yang menjadi teras dalam kesinambungan jemaah.

Tidak timbul soal kebebasan bersuara, tetapi kebebasan pimpinan tidak sebebas penyokong biasa. Pemimpin adalah pendokong parti dan sepatutnya lebih berhemah dalam membuat teguran dalam membina kekuatan parti. Pokok pangkalnya bertitik tolak dari lemahnya fahaman dan pegangan kepada perjuangan. Inilah yang sebut oleh Syeikh Fathi Yakan dalam bukunya " Golongan Yang tercicir Di jalan Dakwah" ;

Dalam Buku
" Golongan Yang tercicir Di jalan Dakwah" telah menggariskan sebab-sebab kenapa seseorang Individu boleh tercicir di jalan Dakwah. Antaranya :-

a. Tabi'e yang tidak tetap

Tiada siapa yang boleh menjamin dia akan kekal dalam jemaah atau sesuatu parti kecuali dengan izin Allah. Sebab itu dalam perjuangan kita, hendaklah selalu kita mendoakan semoga Allah menetapkan kita dalam jemaah yang benar. Surah Fatihah yang kita baca dalam setiap solat juga merupakan kaedah kita memohon petunjuk Allah SWT. Gejala keciciran bukan hanya berlaku pada umat ini bahkan pada umat-umat terdahulu. Malah ramai dari kalangan pimpinan soff hadapan yang tercicir. Bahkan yang lebih malang, mereka bukan sekadar tercicir akan tetapi menjadi panglima yang memerangi jemaah.

b. Takut berlaku sesuatu ke atas diri dan pendapatan
Perjuangan juga tidak sunyi daripada ujian. baik ujian terhadap kekurangan atau limpahan kesenangan. Sebab itu kita diajar supaya terbiasa dengan hidup susah sekalipun kita mampu untuk hidup secara senang atau mewah. As-Syahid Hassan Al-Banna mengharamkan minuman yang halal tetapi boleh menyababkan ketagih atau merasa kurang apabila ketiadaannya. Tujuannya supaya pejuang boleh bercukup dengan apa yang ada serta redha atas anugerah dan ujian Allah.

Budaya sadaqah dan menderma dikenalpasti sebagai budaya yang cukup mujarab dalam mengelakkan takut berlaku sesuatu ke atas diri dan pendapatan. Itulah juga dalam ayat gesaan berjihad dan berhijrah, Allah menyebut supaya hambanya berkorban HARTA, seterusnya jiwa/nyawa.

Para pejuang Islam dan para sahabat mencari dan mengorbankan harta demi perjuangan Islam. Adalah bertentangan sekiranya kita menjadikan jemaah atau parti atau kuasa pemerintahan untuk mengaut kekayaan.

c.Melampau (Ekstream)
Terlalu mengharapkan kejayaan atau perubahan yang terlalu cepat atau total juga menyebabkan pejuang tercicir dan putus asa. Sabda Rasulullah
" Sesungguhnnya orang yang terputus bekalan tidak dapat sampai ke tempat yang dituju dan tidak dapat bertahan di atas tunggangan"

Kita mesti gigih berusaha. Tidak semudah yang kita jangkakan untuk melalukan perubahan yang kita harapkan. Apa lagi dalam mengurus gelagat manusia. Rasulullah yang al-amin sejak kecil dan dibekalkan wahyu juga berhadapan ujian yang besar dalam mereformasikan aqidah, akhlak dan syariat manusia. Puluhan tahun juga masa yang diambil. Sahabat dan pendokong Rasulullah bukan alang-alang. jauh panggang dari api jika hendak dibandingkan dengan penyokong dan pendokong kita hari ini. Lantaran itu, perubahan ini hendaklah dilakukan dengan sistematik, amanah, bijaksana dan penuh sabar.

d. Bermudah-mudahan dan longgar

Perjuangan itu dengan melalui onak dan duri. Tidak semudah mengira ABC. Hidup susah dan bersungguh-sungguh adalah sunnah para nabi dan pejuang kebenaran. Pepatah Melayu juga menyebut " Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya". Ini bermakna,kita tidak boleh bersikap bermudah-mudah dan longgar, yakni kurang disiplin dalam melakukan kerja-kerja menegakkan kebenaran. Kerja ini sentiasa bertembung dengan musuh dari kalangan monokrat. Sikap bermudah-mudah dan longgar bakal menatijahkan pengorbanan sama ada orang yang dijaga atau penjaga. Sikap bermuda-mudah tentera pemanah dalam perang Uhud telah hampir mengorbankan nyawa rasulullah dan meragut nyawa sahabat besar seperti Hamzah Abdul Mutalib dan lain-lain. Benarlah Kata Penyair : Janganlah kamu memandang enteng perkara kecil. Sesungguhnya gunung itu terbina dari batu-batu halus.

e. Tertipu dengan kedudukan dan sikap menonjol diri
Rasa bangga diri adalah syirik khafi yang dicela oleh Islam. Kesannya cukup besar kepada masyarakat. Amat malang sekiranya sikap ini dimiliki oleh pimpinan.Disiplin parti atau jemaah dipandang sepi kerana merasakan dirinya benar ataupun mengharapkan pujian. Pelik tapi benar ada pimpinan yang bangga mendapat pujian daripada musuh?! Sepatutnya sebagai pimpinan jemaah atau parti, sepatutnya mereka menyedari, siapalah mereka tanpa sokongan dan dokongan parti atau jemaah? Menjadi lupa diri apabila menduduki kedudukan yang selesa. Kita lupa pengorbanan penyokong dan pendokong bawahan yang jerit payah berkorban harta dan nyawa demi sebuah perjuangan.Mereka tidak mengharapkan pulangan melainkan kebenaran dan keselamatan anak cucu mereka pada masa yang akan datang. Mengapa ditinggal mereka disaat mereka hauskan belaan?

f. Cemburukan orang lain

Cemburu atau dengki ibarat kentut dan taik yang sentiasa berpadu. Apa lagi sekiranya mereka merasakan mereka lebih layak samada kerana keturunan, harta dan pengaruh. Sifat ini merupakan racun dalam parti atau perjuangan. Punca pembunuhan manusia pertama di dunia juga berpunca daripada sikap dengki dan ceburu. Sabda Rasullullah :
Manusia adalah tetap baik selagi mereka tidak berdengki

Anak Legeh Di Perantauan | Template by - Abdul Munir - 2008