Wednesday, February 24, 2010

Takaful IKHLAS terima anugerah Penyedia Takaful Terbaik


Takaful Ikhlas Sdn Bhd (Takaful Ikhlas) berjaya merangkul anugerah Penyedia Takaful Terbaik dalam Anugerah Kewangan Islam 2010 anjuran majalah Euromoney (Euromoney Islamic Finance Awards 2010), di London, baru-baru ini.



Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato Syed Moheeb Syed Kamarulzaman berkata, anugerah itu membuktikan komitmen syarikat sebagai penyedia utama perkhidmatan perlindungan kewangan yang menawarkan pelbagai produk perlindungan inovatif berasaskan prinsip dan nilai Islam.

Menurutnya, anugerah itu secara tidak langsung meletakkan jenama Takaful Ikhlas di posisi kemuncak membabitkan perkhidmatan perlindungan kewangan yang berasaskan prinsip dan nilai Islam.

“Jenama Takaful Ikhlas mempunyai matlamat, destinasi dan imej tersendiri yang bukan mudah bagi syarikat lain dalam industri sama mengadaptasinya.”

“Kejayaan ini tidak akan di capai tanpa sokongan dari pihak kerajaan, para pelanggan, pihak atasan, kakitangan syarikat, semangat kerja berkumpulan dan kesungguhan serta dedikasi dalam etika kerja dari setiap anggota,”katanya selepas menerima anugerah itu.

Anugerah Kewangan Islam Euromoney 2010 (Euromoney Islamic Finance Awards 2010) disifatkan sebagai penghargaan tertinggi dalam kalender kewangan Islam dan pengiktirafan tahunan bagi prestasi luar biasa, kualiti, perkhidmatan dan inovasi dalam sektor berkenaan.

Syed Moheeb berkata, syarikat akan terus gigih berusaha dalam menawarkan produk-produk inovatif dan perkhidmatan yang berkualiti kepada pelanggan kerana pelanggan adalah keutamaan Takaful.

Menurutnya, Takaful Ikhlas akan terus gigih berusaha dalam menawarkan produk-produk inovatif dan perkhidmatan berkualiti serta mempunyai keazaman berterusan untuk membina reputasi syarikat di samping menyebarkan muamalat Islam.

Takaful Ikhlas yang mula beroperasi pada Julai 2003 adalah anak syarikat MNRB Holdings Berhad, sebuah syarikat pemegangan pelaburan yang disenaraikan di papan utama Bursa Malaysia.

Ia mempunyai dua pusat perkhidmatan pelanggan di Kuala Lumpur dan Selangor serta pejabat wilayah di Kuala Lumpur, Kota Bharu, Johor Bahru, Sungai Petani, Kedah, Kuching, Sarawak, Melaka, Kota Kinabalu, Sabah, Kuantan, Pahang, Ipoh, Perak dan Putrajaya.

Anak Legeh Di Perantauan | Template by - Abdul Munir - 2008