Monday, March 14, 2011

TABAH Dilancar Untuk Tanah Rakyat Sabah

KOTA KINABALU : PAS membuktikan keikhlasan dan kesungguhan dalam membantu menyelesaikan masalah tanah rakyat Sabah dengan menubuhkan satu badan NGO yang dinamakan Pembela Tanah Rakyat Sabah (TABAH). TABAH akan berperanan untuk menerima aduan dan membuat pembelaan terhadap isu-isu tanah terutama tanah NCR yang menghimpit rakyat Sabah.

Majlis pelancaran TABAH telah disempurnakan oleh Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub. Turut hadir Naib Presiden 1, Tuan Ibrahim Tuan Man, pengerusi ANAK, Mazlan Aliman, Pesuruhjaya PAS Sabah, Hj Muhammad Abdullah dan presiden TABAH, Hisyamuddin Sulaiman.


Hisyamuddin mengharapkan dengan pelancaran TABAH ini, akan dapat mengelak rakyat Sabah tertindas di bumi sendiri dan memiliki tanah sendiri untuk mencari rezeki.Kes aduan tanah sabah adalah yang tertinggi diadukan kepada SUHAKAN. Sebanyak 977 kes tanah cukup menggambarkan betapa kroniknya masalah tanah di Sabah.


[gambar : Wakil penduduk yang menunjukkan bukti rampasan tanah mereka]


Sementara itu, Mazlan Aliman dalam ucapan alu-aluan beliau, beliau menegaskan PAS serius turun ke lapangan masyarakat dan sanggup susah bersama rakyat untuk memastikan penindasan BN terhadap tanah rakyat dapat dihentikan. PAS telah menubuhkan beberapa NGO yang khusus untuk membela tanah rakyat secara tersusun seperti penubuhan ANAK bagi membela peneroka Felda, BAPA untuk membela peserta FELCRA, Alumni kakitangan FELDA juga dengan hasrat untuk membantu generasi ke dua dan ketiga FELDA.


PAS juga telah mengadakan Himpunan Isu Tanah Rakyat Sabah (HEMPAS) DI Sandakan tahun lalu bagi menjelaskan dan mendapat maklum balas rakyat Sabah berkenaan isu tanah yang banyak diserahkan kepada kroni pemimpin BN.


Pimpinan tertinggi PAS turut hadir

Wakil-wakil daerah yang hadir turut diberi peluang untuk berucap dan menyatakan masalah mereka dalam majlis tersebut. Nada kecewa, kesal dan marah yang dilontarkan oleh perwakilan menghangatkan lagi majlis pelancaran TABAH pada kali ini.


“ Rakyat Sabah perlu diberi kesedaran tentang pentingnya tanah dan hak mereka supaya mereka tidak ditipu oleh pihak-pihak yang berkepentingan dengan mengadai tanah-tanah rakyat dan diberikan kepada taukeh-taukeh besar” Seru Salahuddin dalam ucapan perasmian tersebut.Beliau juga berharap, rakyat Sabah tetap tabah bersama TABAH memperjuangkan hak pemilikan tanah demi masa depan anak cucu mereka.

sumber : Sabahkita.net

Anak Legeh Di Perantauan | Template by - Abdul Munir - 2008