Tuesday, October 28, 2008

Catatan Ekspidisi Dakwah Ke Pulau Pamaguan

Pulau Pamaguan terletak lebih kurang 20 minit perjalanan dengan menggunakan bot daripada jeti Pasir Puteh Sandakan. Kalau perjalanan dari Sandakan, kita akan melewati Istana Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Hj Aman , Sri Libaran. Istana yang tersergam indah itu,mungkin juga mercu tanda kemajuan Kg Sungai Kayu, Kg Batu Puteh dan Pulau-pulau sekitar.

Rombongan Yayasan Amal seramai 37 orang, pimpinan Sdr Sahar Abdul Majid tiba di pengkalan Pulau Pamaguan tepat jam 12.35 tengahari. Kami menyewa kapal kecil untuk membawa 37 anggota dan barang-barang keperluan program serta sumbangan-sumbangan yang akan disampaikan kepada penduduk pulau Pamaguan. Kapal kecil yang kami naiki tidak boleh melalui pengkalan biasa terpaksa melalui jalan paya bakau. Ini menyukarkan kami. Kami terpaksa meredah hutan paya bakau yang becak. Jalan yang telah dirintis oleh penduduk kampung bagi memudahkan perjalanan kami.

Perjalanan dengan mengangkut barang-barang mengambil masa lebih kurang 20 minit perjalanan dari pengkalan ke tapak program.Kami terpaksa ulang- alik mengangkut barang-barang tersebut. 3 tong gas, 2 generator, peralatan memasak,600 kilo beras, gula , minyak masak dan berguni-guni pakaian terpakai cukup untuk mencabar ketahanan fizikal dan mental kami. Nasib baik juga,sebahagian besar daripada kami adalah tenaga muda.

Setiba kami di sana, solat jemaah zohor ditunaikan dibawah pokok kelapa. Kawasan sekitar SK Pamaguan menjadi tapak projek kami. Rumah Guru dikhaskan untuk lokasi masak-memasak.Ust Mahadir turut menggunakan khidmat anak dan isterinya bagi menyediakan makanan kepada para peserta.Makanan tengahari bergantung kepada bekal yang masing-masing bawa. Aku yang tidak sempat membawa makanan,mendapat syafaat rezeki Pak Yazid dan Ust Mujahideen.

Aktiviti hari pertama, hanya menyediakan khemah dan memberikan kawasan sekolah.Khidmat diri diutamakan kerana kebanyakkan peserta keletihan. Apa lagi bau busuk anjing mati di bawah rumah guru turut mencucuk hidung kami.Malam diisikan dengan kuliah maghrib, sesi taaruf dan mesyuarat untuk persiapan hari esok.

Pelangan kami yang pertama adalah kanak-kanak. Pagi-pagi lagi mereka datang ke tempat kami dengan pakaian sukan. Kelmarin mereka turut membantu memunggah barang-barang kecil. Sikap pemurah ahli-ahli Yayasan Amal yang menyumbang upah yang lumayan menambah minat mereka mendekati kami. Selepas bersarapan,motivasi pelajar dimulakan. Aku ditugaskan untuk menyampaikan ceramah keibubapaan. Kekok juga berceramah di hadapan orang-orang yang jauh lebih lama menjadi ibubapa. Tapi apa boleh buat..dah tugas ustaz macam tu. Alhamdulillah,ceramah dan kritikan yang disampaikan dalam keadaan merendah diri dapat diterima dengan baik oleh mereka. Sehingga tamat ceramah masih ada-ada persoalan-persoalan yang lontarkan.Sementara itu, yang lain menjalankan gotong royong membersih dan mengecat masjid serta membersihkan kuburan. Aku dan Ust Mujahideen berkesempatan ke Pantai Paramaguan dengan dipandu oleh penduduk kampung

Selepas solat jemaah zohor,kami dibahagikan kepada kumpulan untuk menjalankan ziarah Muhibbah dari rumah ke rumah.Pengisian ziarah ini termasuklah soal selidik penghayatan Islam dan penyampaian beras dan barang dapur kepada setiap isi rumah yang berjumlah 50 keluarga di 23 buah rumah.Kami sempat menziarahi rumah Ketua kampung panglima Koboi Tandiku. Selain itu, Aku,PakYazid,Ust Kamarudin dan Ust Farihan ditugaskan menziarahi seorang penduduk kampung yang sudah hampir 2 tahun terlantar sakit.Dia sudah tidak bangun, pergerakannya diatur oleh isterinya. Bekas pekerja balak ini hanya bergantung harap kepada isterinya yang juga seorang nelayan disamping wang kebajikan masyarakat RM130 sebulan. Kami turut mendengar rintihan bapa kepada 3 orang anak ini.2 orang sedang belajar di sekolah menengah di tanah besar Sandakan.Bebanan biayai lampin pakai buang memakan sebahagian besar kos sara hidup mereka. Apalah yang boleh kami bantu...hanya doa dan rasa simpati yang kami berikan.Aku ditugaskan menghulur sedikit sumbangan daripada peserta-peserta Yayasan Amal. Semoga kehadiran kami dapat memberi semangat kepada pesakit,bahawa masih ada yang sayang.

Petangnya diadakan sukaneka untuk kanak-kanak dan perlawanan bola sepak dengan penduduk kampung. Bola sepak kami telah memenangkan penduduk tempat dengan jaringan 6-1. Aku dan para peserta senior melayan penduduk kampung. Lokasi longgokan pakaian –pakaian terpakai yang disumbangkan turut mendapat sambutan yang memberangsangkan.

Bergambar kenangan bersama masyarakat kampung dan warga sekolah Rendah Pamaguan

Cuti Depavali,digunakan untuk mempergunakan doktor hospital Sandakan (Dr Aslam) dan 3 orang pembantunya yang dipimpin En Ramlan untuk menjalankan rawatan perubatan percuma. Dewan sekolah dipenuhi penduduk kampung yang datang untuk mendapat rawatan. Selepas majlis perasmian penutup dan penyampaian hadiah, Jamuan Rakyat diadakan. Jamuan akhir ini agak istimewa.Gulai ayam. Sedangkan sepanjang program kami makan ikan basong goreng je.

Jam 11. 45 pagi, kami mula mengangkut barang-barang ke kapal. Punggah memunggah ini mengambil masa. Kami terpaksa makan tengahari di atas kapal. Makanannya adalah lebihan dari jamuan rakyat tadi. Kami utamakan orang kampung dahulu walaupun kami juga dalam keadaan perut bercakap Tamil. Biskut kering turut menjadi lazat dalam keadaan begini. Tidak sabar rasanya untuk sampai ke darat.

Kami tiba di jeti Kg Batu Puteh dalam jam 2.30 petang. Aku sampai di rumah jam 5.30 petang. Lewat sedikit kerana singgah di kedai untuk membeli saguhati anak-anak. Semestinya mereka ternanti-nanti kepulanganku setelah 3 hari meninggalkan mereka. Itulah indahnya perpisahan walapun sekejap.

Semoga usaha dan khidmat yang kerdil dari insan-insan kerdil ini memberi munafaat untuk diri kami dan masyarakat. Setidak-tidaknya dapatlah kami merasai sedikit kesusahan masyarakat desa atau pulau.Tidur bertemankan rengit (agas-agas) yang membaluti betis di samping kesejukkan malam kerana 2 malam kami di sini, kami disirami hujan. Aktiviti kadang-kadang terganggu.

InsyaAllah, dapatan yang kami dapat sepanjang program akan menyusul dalam posting-posting yang akan datang. Terima kasih sahabat, atas kemurahan jiwa dan keluhuran hati kalian dalam memastikan Program Khidmat Masyarakat Pulau Pamaguan berjalan mengikut Perancangan. Tahniah untuk saudara Sahar dan Mustaman.Takbirrrrrrr!!!!

Sdr Sahar selaku Pengarah program kelihatan agak keletihan dan biskut kering menjadi santapanya.



Anak Legeh Di Perantauan Sudah Kembali | Template by - Abdul Munir - 2008