Selepas hampir seminggu berhari Raya, Kita kembali memulakan tugas. Ramai kawan-kawan dan pelajar bertanyakan persoalan puasa enam. Saya kira, saya kena berbuat sesuatu bagi membantu kawan-kawan dan tazkirah untuk saya sendiri. Persoalan mengenai puasa enam ini timbul kerana kawan-kawan dan pelajar saya tahu akan fadhilat puasa enam ini sebagaimana sabda baginda nabi:
” Sesiapa berpuasa sepanjang Ramadhan, kemudian diikuti dengan puasa enam hari Syawal, maka seakan-akan dia berpuasa selama satu tahun” ( Muslim, Abu Dawud, An-Nasa’i dan Ibnu Majah)
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Allah telah mengandakankan setiap kebaikan dengan sepuluh kali ganda. Puasa Ramadhan setara dengan berpuasa sebanyak sepuluh bulan. Dan puasa enam hari Syawal yang mengenapkannya satu tahun.” ( Riwayat An-Nasa’i dan Ibnu Majah)
Hadis ini mempamerkan bahawa ganjaran diberikan Allah itu sepuluh kali ganda. Ini bermakna jika kita berpuasa selama 30 hari pada Ramadhan, maka digandakan menjadikan 300 hari, manakala puasa enam hari Syawal digandakan menjadi 60 hari. Ganjaran Allah adalah sebanyak 360 hari.
Puasa Enam Syawal boleh dilakukan dengan pelbagai cara iaitu seperti berikut:
Sebahagian ulama berpendapat puasa enam boleh dilakukan secara berselang-seli.
Majoriti ulama berpendapat puasa enam dilakukan secara berturut-turut selepas hari raya.
Pendapat Cara Puasa Enam seperti berikut:
Pendapat pertama mengatakan adalah memadai seseorang yang ingin melakukan puasa qada dan puasa enam dengan berniat hanya puasa qada pada Syawal. Mereka akan mendapat dua ganjaran sekali gus dengan syarat dia perlu berniat puasa qada terlebih dahulu.
Pendapat kedua ialah jika seseorang melakukan kedua-duanya secara berasingan akan mendapat kelebihan di sisi Allah.
Sesetengah ulama berpendapat bahawa puasa enam seharusnya didahulukan kerana ia hanya boleh diamalkan pada bulan sywal sahaja.Bagi puasa qada , ia boleh dilakukan dalam tempoh 10 bulan berikutnya sebelum tibanya Ramadhan berikutnya.