Monday, October 20, 2008

Program Bela Melayu, Skim Cepat Kaya atau Cepat…..???

Sekadar cetusan rasa
Assalammualaikum….

Wang bukanlah segala-galanya tetapi segala-galanya perlukan wang, ungkapan ini sering kedengaran dan kerap menjadi hujah bagi mereka yang ingin menjana wang. Jana dengan cepat supaya kita jadi senang, kaya dan boleh membantu mereka yang memerlukan. Niat dan tujuan itu murni tetapi jalannya kerap tersasar.

Akhir-akhir ini, kita kerap dimomokan dengan kekayaan segera dengan menyertai beberapa skim. Hanya dengan mengeluarkan modal tertentu dan dapatkan downline...kita akan dapat gandaan wang itu.Skim demi skim akan muncul. Bahkan luka masih berdarah dengan skim yang sebelum ini, datang lagi skim baru. Yang ini lain lagi kononnya. Peliknya,mereka tidak serik menyertainya dan tidak malu untuk mengajak orang ramai, termasuk mereka yang sudah beberapa kali tertipu atau ter...rugi...Alasannya senang...tiada rezeki kita... dah takdir....Mungkin lain kali ada.Sepatutnya umat Islam tidak akan masuk dilubang yang sama dua kali.

Persoalan yang timbul di kepala ana, kenapa pelabur ini begitu yakin sedangkan:-
1. Kita tidak kenal secara jelas empunya penganjur dan operasi perniagaanya meragukan
2. Bank dan syarikat yang besar dan berdaftar secara sah sekalipun hanya memberi keuntungan sekitar 4-8 peratus sahaja tetapi syarikat dan skim nyamuk ini boleh beri jauh lebih dari itu. Tidak pelik kah??
3. Mereka yang tidak arif dalam seluk beluk perniagaan tersebut tetapi sanggup melabur dengan banyak hatta sanggup membuat pinjaman bank untuk diserahkan kepada orang yang membuat kutipan.
4. Untuk kutip derma jogathon dan program amal lain pun memerlukan permit polis. Derma RM10.00 dah rasa banyak. Kenapa mereka yang tiada sebarang kad kuasa yang menyakinkan ini,sanggup diberikan ratusan RM...ribuan ringgit.Apa jaminan pemulangan dan keselamatan deposite itu?
5. Setakat ini, skim yang disertai banyak membawa rebah jika dibandingkan mereka yang jadi jutawan.(mungkin ada segelintir yang terawal)
5. Kontak perniagaan syarikat yang tidak jelas(gharar), boleh dipercayai oleh orang berpendidikan tinggi bahkan ahli agama
6. Akal yang cetek kadang-kadang lebih berfungsi memikirkan munasabah skim itu, kenapa orang yang berpendidikan tinggi juga boleh terlibat.

Mungkin juga...mungkinlah pendekatan ini berkesan...
Menggunakan sentimen agama, bangsa, lokaliti, jemaah, kebajikan dan perkara yang berkait rapat dengan seseorang itu berkesan.
Pendekatan bertemu one by one atau face to face dengan mendahului ahli keluarga, sahabat handai, Al-Malk(orang yang berpengaruh) menyebabkan individu itu menjadi serba salah dan akhirnya menyertai walaupun masih ragu-ragu.
Penglibatan ahli agama (ustaz-ustaz) dan golongan profesional sebagai promoter atau orang perantaraan dapat menyakinkan individu tersebut.
Janji pulangan yang besar dengan modal yang sedikit, kerja yang mudah, dapat mengabui kewarasan aqal seseorang.
Kesungguhan, keghairahan dan keyakinan yang ditunjukkan oleh upline dengan memakai kereta mewah, pakaian yang segak dan cara berbelanja berjaya mempengaruhi pelabur

Ana teringat semasa di bangku sekolah rendah dahulu...selalu ana berbangga sedapnya makan nasi dengan budu (makanan kegemaran rakyat Kelantan). Suatu hari ana disekeh(diketuk) kepala dengan kuat oleh ustaz. Macam mahu pecah kepala. Mutar itik. Bila di tanya....Ustaz menjelaskan buruknya engkau...membesarkan perkara yang makruh. Tetapi, dalam bab melabur skim ini,sebahagian besarnya subhat,gharar dan meragukan. Kenapa disebarkan dengan yakin dan bersungguh-sungguh sehingga sanggup mengelilingi satu semenanjung atau Bornea?

Ana seronok menerima kawan dari jauh datang, yang dah lama berpisah. Dia datang bertandang ke rumah bersama kawan, kadang-kadang bersama keluarga. Malangnya keseronokkan itu sedikit terjejas bilamana kehadiran mereka terpaksa ana bayar dengan berat hati. Bukan setakat dengan duit tetapi juga dengan tekanan kerja untuk mempengaruhi kawan-kawan sekitar. Ada juga kawan tidak mahu datang ke rumah, katanya lebih selesa berbincang di warung...penting untuk meningkatkan ekonomi ummah...Bila masa membayar.....pura-pura sibuk. Bukan niat mengungkit.... tetapi apa sudah jadi dengan nilai persaudaraan, ukhwah dan ketelusan dalam persahabatan. Ziarah sudah bertukar niat.

Ini sekadar luahan rasa, harap sahabat tidak terasa dengan ungkapan-ungkapan di atas.Yakinlah... sahabat yang baik ialah sahabat yang sanggup menegur sahabatnya yang melakukan kesilapan. Bukan sahabat yang menyusahkan dan membawa rebah.Kita sudah keluarga yang perlu dibela dan perlu berusaha untuk menjamin masa depan mereka. Jangan kita bawa sahabat dengan pelaburan yang tak pasti,yang akhirnya menyusahkan mereka dan keluarga mereka. Tidak kasihankah kita,tidak rasa bersalahkah kita, kepada kawan kita, anak isteri mereka, ibubapa serta sahabat handai mereka. Mereka ikut kerana kita...Tak malukah kita untuk berhadapan dengan keluarga mereka. Mungkin wang yang dilabur..leburkan itu, wang simpanan masa depan mereka... wang awasan keluarga mereka, wang tabungan anak-anak mereka, wang ibubapa mereka, wang yang mereka pinjam dan dikenakan interest.

Mudah-mudahan, Allah menyelamatkan kita daripada terlibat dan menyebar perkara yang boleh menyusahkan kawan-kawan dan perkara yang tidak jelas disisi agama. Banyak lagi dosa lain yang kita tanggung. Kita insan yang lemah, insan yang selalu melakukan kesilapan,baik secara sengaja ataupun tidak. Kita juga insan yang mudah terpedaya dan memperdayakan.Budaya tegur menegur dan berlapang dada, perlu kita perkasakan supaya hasrat kita untuk membantu Melayu, Islam,jemaah dan kebajikan beroleh kejayaan.

Anak Legeh Di Perantauan Sudah Kembali | Template by - Abdul Munir - 2008