Saturday, November 8, 2008

Pelaburan lagi......

Assalammualaikum....

Ini artikel yang dicopypaste dari web Tranungkite.Tujuannya untuk kita lihat hujah dan ulasan ibnuhasyim ini.Mungkin ada di kalangan kita pernah terlibat dalam program seumpama ini. Kita terima sebagai muhasabah dan sebagai pengajaran agar kita tidak mudah ditipu seterusnya jadi penipu juga. (Skim begini memerlukan kita mencari downline, memujuk dan menjelaskan perkara tidak benar bererti penipu). Kita bimbang,kita akan terlibat lagi pada masa yang akan datang. Yang berlalu,biarkan berlaku. Semoga Allah mengampunkan dosa kita, downline memaafkan kita sebab kita lakukan dalam keadaan kita juga tertipu. Cuma harapan kita,janganlah kerana kita telah 'terkena'kita bermati-matian mempertahankan yang tidak jelas ini kerana ingin memberitahu bahawa kita tidak silap. Kononnya difitnah, dengki, musuh berasa bangga dan sebagainya. Kita terima dengan hati yang terbuka. Usah kita lumuri lagi diri kita dengan najis pada diri kita yang sudah berbau. Kita bersihkan. Kita bina yang baru. Yang lebih jelas. Yang bertepatan dengan syarak. Kita berdiri di atas kaki sendiri.Bukan dari poket orang lain tanpa pulangan sesuatu yang tidak berbaloi.

Biarlah lambat kaya....biarlah susah. Asalkan kita tidak menyusahkan diri dan keluarga kita. Asalkan kita tidak menjadi mangsa umpatan dan cercaan orang.Kerana HALAL itu jelas,HARAM itupun jelas. kenapa kita begitu yakin dan bersungguh-sungguh dalam perkara syubhat dan dah banyak yang menjerumus kepada HARAM.

Tertipu Dengan Skim Cepat Kaya... Apa Patut Buat?
Dilulus terbit pada Saturday, November 08 @ 20:40:39 MYT oleh TokPenghulu

"Ibnu Hasyim CATATAN SANTAI:

"APA dah jadi dengan 'Buluhmas Enterprise Sdn Bhd’ yang pernah mempelawa anda sama-sama bergabung berurus niaga dengannya?” Tanya seorang kawan kepada saya.

Mungkin dia tanya kerana kira-kira setahun lepas, seorang kawan saya dari Tanjung Karang berkunjung ke tempat saya membawa seorang temannya, bekas seorang guru yang pernah jatuh dalam perniagaan. Dia ingin naik semula dengan menubuh sebuah syarikat seperti nama di atas.

“Saya pilih tuan untuk sama-sama bergabung membangunkan syarikat ini… Sekaligus dapat membantu sahabat-sahabat kita yang kurang pendapatan atau dhaif di bidang ekonomi. Tuan adalah orang pertama di Wilayah Persekutuan. Syarikat ini adalah syarikat pengiklanan. Tuan cuma cari ahli yang ingin sumbangkan iklan ‘Buluhmas’, iaitu hanya dengan tampal pelekat iklan Buluhmas dikeretanya saja.


Tiap satu ahli masuk melalui tuan, tuan akan dapat komisyen RM1 seorang. (Bayaran masuk kalau tak silap saya ialah RM15 seorang). Contohnya kalau masuk melalui tuan 10 orang, tuan dapat RM10. Orang itu pula mencari 10 orang melaluinya, bererti 10x10, tuan dapat RM100. Kalau 100 orang itu mencari 10 orang melaluinya, bererti 100x10, tuan dapat RM1,000. Begitulah sehingga pendapatan tuan boleh dapat jutaan RM tiap bulan. (Saya tak ingat boleh dapat komisyen sehingga berapa tingkat atau level..)” Begitu taklimatnya pada saya.

Soalnya, apakah perniagaan khidmat ‘iklan’nya yang menguntungkan atau ‘system berangkai’nya? Perniagaan berangkai dan bertingkat-tingkat inilah yang membuat saya ragu, terutama ‘sah’nya dari sudut agama dan terdapat unsur-unsur penindasan di dalamnya. Saya pernah menulis mengenai skim begini dalam blog ini di bawah judul ‘Bantu Anda Bebas Dari Hutang...’ pada Januari4, 2008 lepas.

Rumusan saya dalam tulisan itu ialah…
Pertama: Dalam suasana sekarang (sebelum harga minyak turun) di mana pemimpim kerajaan yang buminya ada minyak, tidak mampu atau tak larat fikir lagi untuk tahan kenaikan harga tersebut, telah menyebabkan semua barang dan khidmat lain naik. Rakyat miskin dan papa kedana semakin gelisah. Yang cukup-cukup makan pun bajetnya lari, terpaksa menyahut model-model cari wang begini. Apalagi yang sudah karam dan lemas dalam laut hutang, kalau bangkai khinsir busuk hanyut terapung dekat mereka sempat dicapai, mereka mungkin terpaksa berpaut juga!

Kedua: Mengapa masih biarkan (seruan ini kepada pihak berkuasa kerajaan BN) api model niaga begini membesar, sehingga berbilion-bilion diangkut keluar negara baru nak bertindak? Mengapa tidak padamkan api itu waktu kecil, tapi nak tunggu padam bila sudah besar membakar bangunan? Atau sengaja nak membuncitkan perut beberapa kerat korperat keparat, di atas belakang ramai orang awam yang tertipu menderita. Mengapa perlu dipagut ular berpuluh-puluh kali dari lubang yang sama? Terlalu bodoh sangat kalau ada yang berfikir pihak kerajaan tidak tahu betapa pesatnya perkembangan perniagaan begini.

Ketiga: Kalau Allahyarham Pak Man Telo boleh ditangkap dan dibuang daerah, mengapa syarikat sebangsa Swiss Cash tidak boleh diambil tindakan ke akar umbi dan masih ada yang terlepas? Masih belum ada pembentangan maklumat terperinci mengenainya… Jangan sampai rakyat ragu mengenai ketelusan pemimpin-pemimpinnya!

Keempat: Golongan-golongan agama dalam kerajaan perlu jelas dan tegaskan tentang hukum perniagaan berantai yang menguntungkan golongan paling kecil di atas kebinasaan golongan paling besar dan ramai. Keluarkan fatwa untuk membela keadilan dan menolak kemungkaran supaya kerajaan (BN) boleh bertindak tegas.

Tiba-tiba pada Oktober13 baru lalu keluar berita ‘BNM serbu 4 syarikat’. Bank Negara Malaysia (BNM) menyerbu empat buah syarikat skim cepat kaya melalui internet yang mempunyai rangkaian beratus-ratus ribu pelabur dengan nilai pelaburan dipercayai mencecah ratusan juta ringgit. Serbuan dilakukan di beberapa lokasi di Lembah Klang, setelah disyaki menjalankan kegiatan mengambil deposit tanpa lesen dan membuat pelaburan haram di Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan.

Syarikat terlibat ialah Buluhmas Enterprise Sdn. Bhd., Jazmeen (M) Sdn. Bhd., Noradz Travel & Services Sdn. Bhd. dan Eastana Farm Industries Sdn. Bhd. Buluhmas yang beribu pejabat di Tanjung Karang, Selangor dalam laman webnya mendakwa ia memiliki 700,000 ahli sebagai pembayar deposit di seluruh negara. Kaedah perniagaannya menggunakan promoter untuk mengiklankan aktiviti syarikat dengan menampal pelekat yang tertera logo syarikat atau perkhidmatan yang ditawarkan kepada pendeposit.

Aktiviti syarikat-syarikat itu disiasat mengikut Seksyen 25 (1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 yang melarang mana-mana individu yang tidak mempunyai lesen daripada menerima dan mengambil deposit. Syarikat-syarikat itu juga disiasat di bawah Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA 2001) yang melarang mana-mana individu daripada terlibat atau cuba untuk membabitkan diri atau bersubahat melakukan kegiatan penggubahan wang haram. Orang ramai boleh mengetahui senarai syarikat dan institusi berlesen yang menerima deposit dengan melawat laman web BNM di http://www.bnm.gov.my/.

Oleh itu saya jawab pertanyaan kawan saya itu, “Maaf! Saya tak terlibat. Saya pun tak tahu apa dah jadi kepada mereka sekarang..”

“Bagaimana dengan mangsa-mangsanya?” Dia tanya lagi.

“Pada saya 3 perkara perlu mereka yang tertipu itu amalkan…

Pertama;

a… Mereka kena kembali kepada Islam. Amalkan Islam secara keseluruhan, termasuk ekonomi Islam. Mengamalkan ekonomi Islam ada peraturan-paraturannya, ada halal-haramnya. Ikut peraturan Islam insya Allah selamat. Apa-apa masalah mengenai ekonomi, sila lawati http://www.zaharuddin.net/

b… Mereka kena amalkan doa murah rezeki dan sembahyang sunat dhuha sekurang-kurangnya.

Kedua: Setelah berdoa, hendaklah berusaha bersungguh-sungguh dan bertawakallah kepada Allah. Berusahalah menurut bidang dan kepakaran masing-masing, bahkan perlu gandakan mengikut kemampuan.

Ketika
: Dalam pilihan raya akan datang, perlu tolak BN, kerana mereka masih belum peka terhadap kesusahan dan penderitaan rakyat, terutamanya dalam kes penipuan melalui skim cepat kaya. Pemimpin-pemimpin negara ini tidak bersungguh-sungguh menghapus atau mengatasinya, kerana mereka masih tidak mahu peka tetapi sentiasa pekak!

Anak Legeh Di Perantauan Sudah Kembali | Template by - Abdul Munir - 2008