Monday, May 3, 2010

Istiqamah Dalam Perjuangan


Muqadimmah


“Maka tetaplah kamu pada jalan yang benar, sebagaimana diperintahkan kepadamu dan (juga) orang yang Telah Taubat beserta kamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya dia Maha melihat apa yang kamu kerjakan. Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim” (QS. Hud: 112-113)


Istiqa
mah bermaksud;

Berdiri teguh di atas jalan Islam dalam segenap ruang kehidupan sama ada dari sudut aqidah dan pegangan, amalan, pandangan hidup, perjuangan dan sebagainya iaitu tidak akan berganjak sedikitpun dari jalan tersebut walaupun terdapat pelbagai godaan dan rintangan.


Diriwayatkan dari Sufyan Ibn ‘Abdullah r.a. menceritakan; ‘Aku telah berkata kepada Rasulullah s.a.w.; Ya Rasulullah! Nyatakan untukku di dalam Islam ini satu ungkapan yang mana aku tidak akan bertanya lagi tentangnya dari orang lain selain engkau’. Jawab Rasulullah s.a.w.; ‘Katakanlah; ‘Aku beriman kepada Allah’ dan kemudian hendaklah kamu istiqamah’. (Hadis riwayat Imam Ahmad, an-Nasai, Muslim, at-Tirmizi dan Ibnu Majah)


Bagaimana untuk Istiqamah

a. Berpegang-teguh dengan kitab Allah dan sunnah NabiNya.


Dua sumber inilah yang berupaya mengikat manusia agar sentiasa berada di atas Islam iaitu jalan Tauhid dan ketaaatan kepada Allah. Selagi manusia berpegang teguh dengan al-Quran dan juga sunnah Nabi, selagi itulah ia dijamin oleh Rasulullah s.a.w. akan bebas dari penyelewengan dan kesesatan sebagaimana sabdanya;

“Wahai sekelian manusia! Sesungguhnya aku telah tinggalkan untuk kamu sekelian satu peninggalan yang selagi kamu berpegang-teguh dengannya maka selagi itulah kamu tidak akan sesat selama-lamanya iaitu; Kitab Allah dan Sunnah NabiNya”. (Hadis riwayat Imam al-Hakim dari Ibnu ‘Abbas)



b. Teguh dan sanggup menghadapi ujian


Ujian, tekanan kepayahan dan kesenangan sering bersilih ganti adalah asam garam dalam perjuangan. Allah telah menjelaskan dalam surah Al-Baqarah :155



155. Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu Dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang Yang


sabar:


Praktikal menghadapi ujian dan menyelesaikan masalah bakal melahirkan pejuang yang matang dan tahan dengan tekanan serta tidak hanyut dengan kemudahan. Contoh: Bilal, Sumaiyah,Asiah,Amar, Mus’ab dan ulama mutakhir.


c. Pengorbanan

Keupayaan meletakan Islam dan perjuangan mengatasi segala kepentingan nyawa, aqal,keturunan dan harta menjadi acuan yang menatijahkan Istiqamah. Lantaran itu, Allah menegaskan dalam surah Al-Anfal : Ayat 74

74. dan orang-orang Yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah (untuk membela Islam), dan orang-orang (Ansar) Yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam Yang berhijrah itu), merekalah orang-orang Yang beriman Dengan sebenar-benarnya. mereka beroleh keampunan dan limpah kurnia Yang mulia.


d. Sabar

Perjuangan menegakkan Islam merupakan perjalanan yang jauh dan mempunyai pasang surutnya. Hanya mereka yang sabar dan meletakkan pergantungan kepada Allah dan rasul sahaja yang berjaya mengharunginya. Firman Allah dalam surah Luqman :17


17. "Wahai anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan Yang mungkar, dan Bersabarlah atas Segala bala bencana Yang menimpamu. Sesungguhnya Yang demikian itu adalah dari perkara-perkara Yang dikehendaki diambil berat melakukannya.


e. Melazimi budaya hidup berjemaah


Hidup berjemaah dengan solat berjemaah, makan berjemaah dan sebagainya membina rangkaian iman yang memungkinkan istiqamah akan bertapak di dalam jiwa pejuang.


Pengukuhan akan sentiasa terbina.Mana mungkin kita berupaya menahan asakan mehnah dan tribulasi perjuangan keseorangan kerana menegakkan kebenaran itu adalah tugasan secara berjemaah. Apa lagi, Iman manusia ada pasang surutnya.Mengutamakan jemaah penting dalam segala urusan kehidupan.



f. Membina keluarga Pejuang

Kejayaan Rasulullah menegakkan Islam dan pemerintahan ada hubungkait dengan kejayaan baginda membina rumahtangga pejuang. Pemilihan pasangan yang sama-sama bersedia mengorbankan diri untuk perjuangan adalah langkah awal ke arah membina keluarga pejuang. selain itu kesediaan ahli keluarga melepaskan ahli keluarganya keluar ke jalan Allah berkorban dan mengorban demi agama sepatutnya menjadi rutin keluarga ini.. Lihatlah bagaimana Rasulullah sanggup turun ke medan Badar sekalipun anaknya Ummi Kathum sedang sakit tenat dan kepulangan baginda ke Madinah hanya mampu melihat kuburan Ummi Kalthum.


Begitu juga Rasulullah membina rangkaian Kekeluargaan dengan beliau sendiri menjadi menantu dan mertua kepada sahabat-sahabatnya .


Bagaimana kesediaan isteri Kaab bin Malik yang turut memulau suaminya Kaab bin malik kerana mematuhi perintah Rasulullah yang menghukum Kaab bin Malik atas kelengahan beliau dalam menyertai Rasulullah dan para sahabat sehingga terlepas menyertai perang Uhud.



Tanda dan Punca Tidak Istiqamah

1. Al-Futur (terhenti dan melengah-lengah)

- Suatu penyakit yang mungkin menimpa sebahagian daripada para amilin. Tahap future yang paling rendah ialah malas, menangguh-nagguh, melengah-lengahkan dan tahap yang paling tinggi berhenti terus.


2. Al-Israf (pemborosan)

-perbuatan yang melampau batas kesederhanaan, sama ada dalam perkara makanan, minuman, pakaian,tempat tinggal dan seumpamanya yang merupakan naluri yang tersembunyi dalam diri manusia.


3. Al-Isti’jal (gopoh/terburu-buru)

Keinginan untuk mengubah reality penghidupan masa kini dalam sekelip mata tanpa menilai kesan buruk yang akan berlaku dan memahami suasana sekitar.


4. Al-uzlah (memencilkan diri)

- Mengutamakan penghidupan secara berseorangan dengan meninggalkan penghidupan secara berjemaah. Merasakan dirinya mampu menegakkan kebenaran tanpa bantuan dan sokongan orang lain.


5. Al-I”jab Bil Nafsi (terpersona dengan diri sendiri)

- Suatu kegembiraan dengan diri sendiri, hasil daripada apa yang dilakukannya, tanpa mengambil kira perkataan atau perbuatan tersebut baik atau buruk, terpuji atau terkeji.

6. Al-Ghurur

- Kekaguman seseorang amilin dengan diri sendiri sehingga mendorongnya ke tahap menghina dan memperkecil-kecilkan setiap apa yang diusahakannoleh orang lain yang menyerupai apa yang ia sedang lakukan. Namun, bukanlah sehingga memperlekehkan peribadi saingannya.


7. Al-Takabur

- Menonjolkan kebesaran dirinya dalam bentuk menghina orang lain dan memperlekehkan kewibawaan mereka. Selain itu,dengan angkuh menolak untuk menerima kebenaran dari orang lain.


Penutup

Pejuang kebenaran juga adalah pilihan Allah. Penyerahan diri kepada Allah sepenuhnya amat penting dalam memastikan para amalin terus istiqamah dalam perjuangan. Rindukan syahid, cintakan kebenaran, bencikan kemewahan hidup dan menyanyangi sahabat seperjuangan antara resipi yang mesti diadun dalam membina Istiqamah.

Rujukan

1. Tuan Guru Hj Abdul Hadi, Islam: fikrah,harakah dan Daulah, Dewan Pustaka Fajar.2003

2. Dr Al Syed Noh, Muhammad,Wabak Sepanjang jalan, Dewan Ulama PAS Pusat, 2003

3. Syahid Hassan Al-Banna, Himpunan Risalah Hassan Al-Banna, Pustaka salam,

4. Fathi Yakan, Golongan Yang tercicir Di Sepanjang Jalan, Dewan Pustaka Fajar, 1985


Anak Legeh Di Perantauan Sudah Kembali | Template by - Abdul Munir - 2008