KUALA LUMPUR, 13 Mei: PAS, PKR dan DAP walaupun pemimpin dan ahlinya berbeza agama dan bangsa sepakat membantah keras judi bola sepak Piala Dunia 2010 yang diluluskan oleh Menteri Kewangan kepada Kumpulan Berjaya.
Dalam kenyataan berasingan mereka menyifatkan langkah ini satu yang silap dan hanya menghalalkan segala penyakit sosial yang berterusan di negara ini.
Semalam, media melaporkan, Menteri Kewangan telah meluluskan lesen judi bola sepak piala Dunia kepada Kumpulan Berjaya dengan alasan untuk mengawal judi secara gelap.
Umno undur ke belakang - PAS
Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, langkah pihak kerajaan memperkenalkan lesen judi sukan dalam negara pada masa sekarang ini adalah satu tindakan yang jauh menyimpang dari ajaran Islam dan tatacara kehidupan yang diterima dalam masyarakat Malaysia pada waktu ini.
Ianya menggambarkan bahawa kerajaan pimpinan Umno-BN yang ada pada waktu sekarang ini telah bankrap idea dan sedang membawa negara mundur ke belakang ke arah yang lebih jauh dari ajaran Islam.
Inilah yang dirancang oleh penjajah dan Umno yang menjadi tulang belakang kerajaan yang ada di waktu ini telah membawa semakin banyak perkara-perkara negatif selepas negara mencapai kemerdekaan, malah lebih banyak dari yang dilaksanakan oleh penjajah itu sendiri, katanya dalam satu kenyataan.
Hasilnya, kata beliau, wajah Islam yang cuba dibawa oleh Umno dengan mendirikan masjid, pusat Islam dan aktiviti keagamaan ini menjadi topeng dan tempelan kosmetik sahaja, dan dalam masa yang sama mereka merobek Islam dari belakang.
Akibatnya Umno juga telah menunjukkan satu wajah yang sangat salah dengan hakikat tasawwur ajaran Islam yang sebenar, katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, beliau mengajak orang Melayu beragama Islam untuk memahami bahawa di sana terdapat perbezaan di antara Islam dengan bangsa. Islam adalah agama untuk seluruh manusia tanpa mengira bangsa dan kaum.
"Dalam hal ini kita telah mendapat respon yang sangat baik dari kalangan orang bukan Islam, malah kita juga telah berjaya menarik sokongan rakan-rakan dari DAP dan PKR yang bukan Islam untuk menyokong bagi mengharamkan judi.
"Inilah kejayaan satu anjakan paradigma dalam aspek dakwah apabila kita memberi kefahaman kepada orang bukan Islam untuk menerima apa yang diharamkan oleh Islam," katanya.
Sehubungan itu, katanya, PAS menyeru kepada penyokong-penyokong Umno yang cintakan agama untuk membuat muhasabah terhadap diri mereka supaya melaksanakan perubahan secara ilmu dan mengkaji kefahaman Islam yang betul melalui sumber-sumber Islam dan bukan melalui media-media yang memberikan maklumat yang salah yang terus menerus menjahilkan mereka dari ajaran Islam.
PKR bantah keras
Sementara itu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga membantah keras cadangan kerajaan BN untuk menghalalkan judi pertaruhan sukan, kata Ketua Penerangannya Latheefa Koya.
PKR dengan keras menyatakan bahawa menghalalkan perjudian sukan akan hanya menambah masalah penyakit sosial yang sedang melanda masyarakat.
Meluasnya judi sukan akan secara langsung menyerang tunjang budi pekerti (moral) masyarakat yang giat berusaha menghapuskan penyakit sosial seperti rasuah, jenayah keganasan seksual, penderaan dalam rumah dan pinjaman 'jerung' ah long.
Kerajaan BN tidak menghiraukan fakta bahawa golongan miskin dalam masyarakat akan menerima kesan buruk akibat pelaksanaan dasar judi ini. Biarpun perjudian merupakan tabiat yang wujud pada setiap peringkat golongan masyarakat, namun ia memberi kesan besar terhadap golongan berpendapatan rendah yang sebenarnya tidak boleh kalah dalam perjudian mereka untuk cepat kaya.
Kajian menunjukkan golongan miskin lebih mudah terpengaruh dengan judi dan mempertaruhkan sebahagian besar daripada pendapatan mereka berbanding dengan golongan yang kaya, katanya.
Tambah beliau, Tidak ada jaminan bahawa menghalalkan perjudian sukan akan dapat menghapuskan judi haram. Malah ia akan memperbanyakkan lagi pembuat pertaruhan haram dan 'jerung' ah long pula akan menawarkan pertaruhan yang lebih baik dan menarik, termasuklah jerat pinjaman haram.
Cubaan tidak masuk akal Awang Adek untuk meluluskan rancangan ini sebelum Piala Dunia menunjukkan betapa rakusnya BN untuk mengeruk duit Rakyat, kata Latheefa.
Warga Malaysia menyukai Piala Dunia dan sukan bola sepak umumnya. Menghalalkan perjudian akan hanya membawa lebih ramai orang ke dalam kancah kitaran ganas yang berakhir dengan kemiskinan dan ketagihan judi, tambah beliau.
Lebih teruk lagi, kerajaan BN bersekongkol dengan agensi perjudian yang tidak telus dalam urus niaga kewangan dan keuntungan mereka, berbanding dengan negara-negara lain yang mana terdapat perjudian terkawal.
Cadangan ini hanyalah skim buat duit yang tidak bertanggungjawab dan dicadangkan oleh BN serta ianya merupakan permulaan yang berbahaya dan menghancurkan. Ia perlu ditolak dengan serta-merta, tegas beliau.
Najib perolokkan MEN - DAP
Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua dalam kenyataannya pula berkata, kelulusan lesen ini merupakan satu tindakan yang memperolokkan Model Ekonomi Nasional (MEN) yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Katanya, rakyat Malaysia sangat terkejut dengan tindakan ini kerana Najib telah membentangkan model baru cara menjalankan perniagaan di Malaysia yang menurutnya akan lebih telus dan kompetitif.
Dalam ucapannya, Najib memberikan jaminan tidak lagi akan bertolak ansur dengan 'rent-seeking and patronage' (pengambil kesempatan dan perlindungan) dalam ucapannya semasa melancarkan MEN.
Kini, dengan menganugerahkan konsesi paling mewah untuk tahun ini kepada tokoh yang terkenal rapat dengan pemimpin BN, Tan Sri Vincent Tan, Najib telah membakul sampahkan segala ucapan dan janjinya sebelum ini, kata anggota Parlimen Petaling Jaya Utara.
"Yang paling sedihnya, ia dibuat dalam keadaan paling buruk, tiada permintaan terbuka untuk membuat cadangan dan tiada tender terbuka atau sebutharga untuk lesen judi sukan.
"Atas dasar apa Vincent Tan dianugerahkan konsesi bernilai bilion ringgit ini yang bukan sahaja akan mengkayakan dia tetapi dalam masa yang sama merosakkan rakyat melalui dorongan untuk berjudi," soal Tony Pua lagi.
Sehubungan itu, beliau mendesak kerajaan agar menarik balik lesen ini dan membentuk satu Jawatankuasa Terpilih Dewan Rakyat untuk mengkaji kesan judi sukan ini kepada rakyat Malaysia.
"Jika diluluskan pun, pastikan ia dibuat secara tender terbuka, telus dan kompetitif atau sebut harga lelongan dibuat untuk mempastikan ia telus dan nilai wang terbaik untuk kerajaan dan rakyat," kata Tony. |